Istilah penggunaan ‘Hak Istimewa’ orang melayu sebenarnya adalah punca masalah perkauman di Malaysia.
Oleh sebab itu ramai yang mempertikaikan hak dan ‘keistimewaan’ yang diperuntukkan di bawah Artikel 153 Perlembagaan Malaysia untuk orang Melayu dan bumiputera di Malaysia, negara yang dahulunya di kenali sebagai Tanah Melayu.
Sebenarnya penggunaan hak istimewa kepada orang Melayu adalah salah dari segi penggunaan ayat dan telah menyebabkan banyak kekeliruan, salah faham dan telah menimbulkan banyak masalah sehingga di gelar peruntukan rasis oleh sebilangan warganegara termasuk orang melayu sendiri. Secara logiknya tiada hak istimewa sebenarnya yang di peruntukkan kepada orang Melayu yang asalnya adalah miliknya.
Yang istimewa sebenarnya ialah hak yang orang Melayu beri kepada warga asing untuk menjadi warga negara Tanah Melayu sebelum Merdeka dan hak ini telah dinikmati sehingga kini. Orang Melayu memberi kerakyatan kepada berjuta warga asing secara percuma dan ini dinikmati juga oleh anak-anak dan cucu cicit mereka. Ini hak istimewa yang pertama iaitu kerakyatan tanah melayu kepada kaum Cina dan India.
Hak istimewa ini termasuklah keistimewaan kepada kaum bukan pribumi untuk mengundi pemimpin pilihan mereka sebagai wakil rakyat di Dewan Negeri dan di Dewan Rakyat. Hak istimewa untuk mengundi ini telah mereka gunakan dengan sepenuhnya pada Pilihan Raya Umum ke Lima Belas dengan kehadiran lebih 90% kaum bukan Melayu yang keluar mengundi.
Kaum bukan Melayu juga menikmati keistimewaan dari segi peluang-peluang perniagaan dan ini amat jelas dengan berdozen warga bukan Melayu yang bergelar ‘Bilionair’. Malah kek ekonomi yang dikuasai oleh kaum bukan melayu melebihi 80% kuasa ekonomi Malaysia. Hak istimewa ini memberi ruang tanpa batasan kepada kaum bukan melayu untuk maju dalam bidang masing-masing.
Orang bukan Melayu juga mendapat keistimewaan dari segi pendidikan di sekolah mengikut kaum dan adat mereka seperti Sekolah jenis Cina dan India. Sekolah-sekolah ini bukan sahaja dibenarkan beroperasi dengan pembelajaran dalam bahasa negara asal mereka tetapi juga belajar sejarah negara asal mereka dengan sistem pendidikan yang amat berlainan dengan Sekolah-Sekolah Kebangsaan.
Adakah kerana mereka menganggap mereka juga adalah warganegara negara asal dan akan kembali ke negara asal satu hari pada masa hadapan? Kenapa mereka tidak boleh menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan dan menerima sepenuhnya kerakyatan Malaysia tanpa perlu rujukan kepada negara asal mereka?
Secara logik, kalau mereka berbangga dan menuntut hak sepenuhnya sebagai rakyat Malaysia mereka harus berbahasa dan menyelami budaya orang Melayu dan bukan mengekalkan bahasa dan budaya negara asal.
Keistimewaan orang Cina lebih menyerlah bukan sahaja untuk hak mendapat pendidikan dalam bahasa dan sejarah negara asal mereka, tetapi mendapat peruntukan tahunan berjuta-juta ringgit untuk semua 63 sekolah persendirian Cina. Keistimewaan ini tidak dinikmati oleh bangsa Melayu dan bangsa lain.
Malah banyak sekolah-sekolah kebangsaan swasta yang menggunakan sukatan pendidikan nasional dan institusi pendidikan tahfiz yang daif dari segi fasiliti jauh memerlukan bantuan dan serba kekurangan juga tidak mendapat keistimewaan peruntukan yang sama.
Terkini, bantuan kewangan tahunan untuk sekolah persendirian Cina yang menggunakan sistem pendidikan yang dikelola sendiri oleh Dong Zong dan bukan sistem nasional mendapat peningkatan peruntukan kepada RM15.75 juta atau RM250,000 setiap sekolah persendirian Cina. Apakah mesej yang ingin disampaikan oleh kerajaan?
Hak istimewa orang bukan Melayu juga memberi peluang kepada orang Cina untuk memiliki tanah-tanah di Malaysia dan ini terbukti dengan jumlah pemilik tanah terbesar dengan keluasan 135,000 hektar adalah orang Cina. Malah 13 pemilik dari 15 pemilik tanah terbesar di Malaysia adalah orang Cina dengan hanya 2 orang Melayu sahaja di dalam senarai itu.
Kedua-dua orang Melayu yang memiliki tanah terbesar di Malaysia hanya memiliki 5,000 hektar dan 1,000 hektar tanah sahaja berbanding pemilik tanah Cina yang memiliki tanah melebihi 100,000 hektar setiap pemilik.
Hak-hak orang Melayu perlu dipertahankan bukan kerana orang Melayu angkuh atau istimewa tetapi kerana orang Melayu adalah penduduk pribumi dan adalah golongan yang termiskin dalam negara ini mengikut statistik.
Orang Melayu perlu dibimbing dan diberi ruang untuk mereka berjaya dalam bidang yang diceburi dengan peluang yang perlu disediakan oleh pemimpin yang berjiwa nasionalis.
Hanya pemimpin nasionalis yang memikirkan bangsa melangkaui kepentingan peribadi dapat memimpin bangsa Melayu untuk menjadi bangsa yang berjaya setanding dengan bangsa lain.
Segala bantuan yang dinamakan ‘Istimewa’ adalah untuk menyamaratakan jurang yang amat besar di antara orang Melayu dan bukan Melayu. Yang istimewanya adalah orang bukan Melayu yang mendapat segala kemudahan dan kemewahan di bumi Melayu yang tak mungkin dapat mereka capai di negara asal mereka.
Armin Baniaz Pahamin – Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com