TERKINI

Ubi Kayu dan Johari Abdul

Johari Abdul (kiri), Khairuddin Abu Hassan (gambar kecil) – malayadaily.com

Saya tidak mahu kata Speaker Parlimen cakap bodoh tetapi Tan Sri Johari Abdul dan keluarga harus jadikan ubi kayu sebagai makanan ruji mereka terlebih dahulu untuk dijadikan contoh kepada keseluruhan rakyat Malaysia.

Inilah masalah dengan pemimpin di negara kita yang sering kali gemar buat kenyataan yang agak dangkal bila berpaut pada kuasa.

Sebenarnya isu beras putih tempatan adalah masalah kelemahan ‘enforcement’ dari pihak penguatkuasaan yang terbukti gagal untuk memerangi puak kartel yang secara sengaja menyorokkan stok beras putih tempatan kemungkinan untuk naikkan harganya termasuk harga beras putih import bila kekurangan bekalan di pasaran.

Ini melambangkan kelemahan pentadbiran kerajaan Madani yang tidak mampu sehingga hari ini untuk menyelesaikan masalah bekalan stok beras putih tempatan.

Sekiranya isu beras putih tempatan pun mereka tidak mampu untuk selesaikan jadi tak perlulah mereka bercakap mengenai mentadbirkan negara ini secara efektif.

Asas yang penting adalah masalah penguatkuasaan pada realitinya.

Dalam isu ini saya juga ingin ingatkan Speaker Parlimen bahawa sekiranya digantikan dengan ubi kayu sebagai makanan alternatif kita tetapi bila permintaan pada ubi kayu tinggi puak kartel akan melakukan ‘modus operandi’ yang sama bagi menaikkan harga di pasaran.

Jadi isu stok bekalan yang mencukupi serta pengawalan harga akan menghadapi masalah yang sama sekiranya penguatkuasaan kita melawan kartel lemah.

Penguatkuasaan dan undang-undang yang tegas perlu diujudkan bagi melawan puak kartel serta membasmikan sorok barangan keperluan yang amat menyusahkan keseluruhan rakyat.

Puak-puak harus ditangkap dan didakwa di bawah Akta SOSMA serta harta benda mereka juga mesti dirampas.

Jika kita ada penguatkuasaan serta undang-undang yang tegas seperti ini barulah polemik sorok bekalan makanan akan selesai.

Dalam masa yang sama pemimpin-pemimpin kerajaan pun tak perlu lagi cakap bernada ‘bodoh’ yang menampakkan kebodohan diri mereka.

-tamat-

Khairuddin Abu Hassan, Pengerusi Mobilisasi Sekretariat POM

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp