
Saya menulis di sini sebagai seorang yang kecewa. Kecewa kerana idealisme yang kami bawa dahulu telah dicemari oleh mereka yang lupa dari mana kita datang.
Kita melaungkan “Reformasi!” di jalan-jalan, bukan kerana kita mahu jawatan. Kita lawan bukan kerana kita benci peribadi, tetapi kerana kita mahu merobohkan sistem yang menindas rakyat. Kita dizalimi, dipenjarakan, difitnah—tetapi kita tetap berdiri, kerana kita percaya pada perubahan.
Namun hari ini, saya tanya kepada kalian semua… di mana reformasi itu?
Kita janji mahu pisahkan kuasa, tetapi hingga kini, Peguam Negara masih pegang dua topi. Apa sudah jadi dengan janji kita kepada keadilan?
Kita pernah berdiri depan mikrofon dan kata: “SOSMA akan dimansuh.” Tapi hari ini, kita sendiri menggunakannya. Apakah kita ini pengkhianat kepada janji kita sendiri?
Di mana suara wakil rakyat yang bebas? Di mana jawatankuasa yang benar-benar berfungsi? Apakah kita hanya mahu Dewan menjadi tempat angguk-angguk?
Kita kutuk 1MDB dahulu, tapi adakah kita cukup telus hari ini? Mana undang-undang pembiayaan politik? Adakah kita benar-benar mahu bersih, atau kita hanya mahu kuasa dengan cara yang sama?
Dan rakyat? Rakyat terus terhimpit dengan kos sara hidup. Monopoli masih berleluasa. Anak muda masih menganggur. Yang kaya bertambah kaya, yang miskin terus dipinggirkan.
Saya tidak benci sesiapa. Tapi saya benci pengkhianatan terhadap perjuangan.
Saya bukan marah kerana tidak diberi tempat. Saya marah kerana rakyat terus ditinggalkan setelah kita duduk di kerusi empuk Putrajaya.
Reformasi bukan slogan kempen. Reformasi bukan jenama politik. Reformasi adalah janji kepada rakyat bahawa kita akan ubah sistem—bukan sekadar tukar orang.
Dan kalau hari ini kita lupa… maka kita tidak lebih baik daripada mereka yang kita lawan dahulu.
Saya tidak akan diam. Saya tidak akan tunduk. Dan saya tidak akan bersekongkol dengan mereka yang menggadaikan idealisme demi kuasa.
Kerana perjuangan ini… bukan milik segelintir dikeliling Anwar. Ia milik rakyat.
Reformasi belum selesai. Dan saya akan terus bersuara.
Oleh : Oleh : Mueza – Seorang pengamat politik