Y.B.M. Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzahl, Y.A.B. Datuk Mohd. Nasir, Ahli-ahli Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Kelantan, Dif-dif terhormat, Saudara-saudara sekalian.
Terlebih dahulu sukalah saya mengucapkan terima kasih atas kesudian saudara-saudara menjemput saya menghadiri majlis jamuan makan yang permai ini.
Saya sungguh gembira mengetahui kejayaan yang telah dicapai oleh Dewan Negeri Kelantan dalam usaha membimbing ahli-ahlinya ke arah kemajuan terutama dalam bidang perindustrian yang baru berumur setahun jagung di kalangan orang-orang kita.
Seperti yang kita sedia maklum, bidang perniagaan dan perusahaan tidaklah asing bagi orang-orang Melayu Negeri Kelantan yang sudah pun terkenal di dalam negeri dan juga di luar negeri seperti perusahaan emas dan perak, batik dan songket dan juga ukiran kayu.
Tetapi dalam keadaan zaman moden ini, di mana terdapat persaingan dalam mana-mana lapangan juga, maka kita juga mestilah bersedia melengkapkan diri bagi menghadapi persaingan tersebut.
Bagi pihak Kerajaan, kita memanglah bersedia memberi segala bantuan dan kemudahan agar dapat ahli-ahli perniagaan Bumiputra menghadapi segala cabaran supaya dapat mencapai kemajuan yang lebih dalam usaha dan kegiatan mereka, sesuai dengan matlamat dan hasrat Kerajaan menggalakkan penyertaan orang-orang kita dalam semua kehidupan ekonomi negara.
Rancangan Malaysia Kedua yang akan berakhir tahun ini berlandaskan Dasap Ekononmi Baru yang bertujuan menghapuskan kemiskinan dalam negara ini dan juga kedudukan yang tidak seimbang antara kaum-kaum dalam bidang ekonomi.
Keadaan yang ditinggalkan oleh penjajahan dahulu tentulah tidak sesuai dengan keadaan kita hari imi.
Kita mahukan satu masyarakat yang aman dan bahagia, dan ini hanya dapat dilahirkan bila ada keadilan.
Inilah yang sedang kita lakukan dan kita semua berharap menerusi Dasar Ekonomi Baru ini akan tercipta masyarakat yang adil, aman dan bahagia yang dicita-cita itu.
Saudara-saudari sekalian
Kerajaan sedar untuk mencapai matlamat tersebut, Kerajaan sendiri terpaksa mengambil bahagian langsung dalam kehidupan ekonomi di negara ini dan tidak mengharapkan sektor swasta semata-mata.
Dalam zaman penjajahan dahulu, Kerajaan hanya bertindak secara tidak langsung untuk menjaga kepentingan pihak-pihak tertentu sahaja. Tidak ada usaha-usaka galakan dan jauh sekali bantuan secara langsung kepada orang-orang kita.
Syukur Alhamdulilah, semenjak kita merdeka telah banyak yang kita buat bagi membaiki kedudukan ekonomi orang-orang kita di bidang ekonomi moden, dan meskipun ada kemajuan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua, kita belum lagi berpuas hati. Kita akan lanjutkan usaha-usaha ini dalam Rancangan Malaysia Ketiga kelak.
Dalam hubungan ini juga, Kerajaan telah menubuhkan beberapa badan dengan tugas-tugas tertentu seperti UDA, Pernas, MARA, Perbadanan-perbadanan Kemajuan Ekonomi negeri dan lain-lainnya yang bertujuan mempesatkan penyertaan Bumiputra dalam kehidupan ekonomi di negara ini.
Bahkan mereka yang bergiat di lapangan pertanian dan perikanan tidak dibiarkan setakat taraf “subsistence” dan perlu dimodenkan.
Bagaimanapun, patut saya tegaskan di sini, badan-badan yang saya sebutkan tadi bukan menjadi persaingan kepada peniaga-peniaga dan pengusaha-pengusaha Bumiputra, tetapi sebaliknya badan-badan ini bertanggungjawab bagi menyediakan mereka menyertai dengan aktif dalam lapangan perniagaan dan perindustrian.
Kita sedia maklum, matlamat mencapai 30% penyertaan Bumiputra dalam kehidupan ekonomi di negara masih jauh di depan. Untuk sementara waktu, badan-badan berkanun ini akan mengambil bahagian dalam bidang-bidang tertentu di mana kaum Bumiputra belum sanggup untuk mengambil bahagian sepenuhnya.
Mereka hanya memegang mandat sementara. Apabila sampai masanya diharap penyertaan secara langsung akan berjalan dan tidak lagi melalui ajensi-ajensi Kerajaan.
Sebagai contohnya, dapat saya sebutkan usaha-usaha yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan dan Perindustrian serta badan-badan berkanun di bawah kementerian tersebut.
Sehingga ini beberapa risalah dan buku kecil mengenai bidang perindustrian untuk mereka yang ingin menceburkan diri, sebuah buku khas mengenai panduan pelaburan kepada Bumiputra telah disiapkan oleh FIDA. Semua maklumat ini diharap akan menggalakkan lagi penyertaan orang-orang kita dalam sektor moden.
Selain dari itu, saya difahamkan Kementerian ini mengadakan seminar dan dialog dengan tujuan supaya lebih ramai orang-orang kita dapat berkecimpung dalam bidang perindustrian.
Untuk meluaskan perkhidmatannya, FIDA telah membuka pejabatpejabat di Alor Setar, Kuantan, Kuching dan juga di Kota Bharu ini.
Buat masa ini, kita memerlukan penyertaan pelabur-pelabur dari luar dan Kerajaan memang menggalakkan joint-venture dengan pemodal-pernodal luar negeri dan FIDA ada menyediakan senarai bakal-bakal pelabur yang telah menyatakan minat hendak menanamkan modal di sini.
Saudara-saudari sekalian,
Apa yang telah saya sebutkan itu adalah garis kasar, tujuan dan maksud kita melaksanakan Dasar Ekonomi Baru. Saya ada juga mendengar tentang berlakunya penyelewengan. Tetapi ini semua dapat kita atasi kalau ada kerjasama yang erat dan rasa saling faham memahami di antara Kerajaan dan ahli-ahli perniagaan dan perindustrian Bumiputra.
Dewan-dewan perniagaan dan Perindustrian boleh membantu Kerajaan dalam hal ini dan dapat memainkan peranan yang positif supaya matlamat 30% itu dapat dicapai dalam tempoh yang ditentukan.
Saya dapati negara-negara yang telah maju, Dewan-dewan Perniagaan adalah badan yaag berpengaruh sekali dan dapat menjaga kelayakan dan “integrity” ahli-ahli mereka. Badan-badan ini telah dapat mengawal kepentingan bukan sahaja ahli-ahli mereka tetapi juga negara.
Saya percaya Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu dapat menjalankan peranan yang demikian itu.
Sebagai akhir kata, saya suka sekali lagi mengucapkan berbanyak terima kasih kepada saudara-saudara yang telah menjemput saya ke negeri Kelantan yang permai ini dan saya berdoa ke hadzrat Allah S.W.T. agar diberkari segala usaha kita, moga-moga segala cita suci kita itu akan tercapai.
– Ucapan Perdana Menteri di majlis Jamuan Makan Malam, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Kelantan, Kelantan Royal Club, Kota Bharu, 17 Julai 1975