TERKINI

Kebangkitan Anti-British Di Semenanjung Tanah Melayu – Bah. 4

Abdullah Zakaria b. Ghazali

British di Negeri Sembilan

foto pusakananing.blogspotdotcom

Tentangan yang wujud di Negeri Sembilan bukan disebabkan berlakunya secara langsung konflik antara nilai-nilai tradisi baru yang dibawa oleh British kerana British belum bertapak di Kawasan Tengku Antah, hanya di Sungai Ujong.

Walaupun demikian soal adat terlibat. Ini dapat dilihat ekoran daripada keterlibatan British di Sungai Ujong. Datuk Kelana tidak menghadiri pertabalan Tengku Antah sebagai Yamtuan. Malah Datuk Kelana lebih memihak kepada dan bercita-cita hendak melantik Tengku Ahmad Tunggal sebagai Yamtuan.

British pula menyokong Datuk Kelana yang sememangnya bercita-cita untuk menguasai Negeri Sembilan yang banyak mempunyai sumber galian bijih timah. Datuk Kelana kemudiannya sekali lagi bertindak di luar Batasan dengan mengakui Terachi, yang pada hakikatnya hak Yamtuan Antah, sebagai haknya. Seterusnya beliau melantik seorang Penghulu bertanggungjawab di situ.11

Patrick James Murray, Residen British Sungai Ujong, datang ke Terachi untuk membuat penyiasatan mengenai peristiwa tersebut. Beliau disertai oleh dua puluh orang tentera dibawah Leftenan Hinxman, tiga puluh orang polis, seorang doctor (Dr. Hoysted) dan seorang juruukur (Bernama D.D. Daly). Tindakan British ini menggambarkan dengan jelas bahawa British seolah-olah mengakui Terachi hak Sungai Ujong.

Tindakan British dalam malasah Terachi ini telah menjadi faktor yang mempercepatkan meletusnya tentangan daripada Yamtuan Antah. Apa yang aneh pula apabila berlakunya pertempuran antara pasukan orang-orang Melayu dengan pasukan British, dikatakan bermulalah perang antara Yamtuan Antah dengan Datuk Kelana.12 Keadaan yang sebenarnya jelas, Yamtuan Antah tidak berperang dengan Datuk Kelana tetapi sebaliknya dengan pasukan tentera British.

Yamtuan Antah menghantar pasukannya menghalang usaha Daly (juruukur) bersama beberapa orang polis dari meneruskan penyiasatan. Oleh kerana takut, Daly meminta bantuan dari Sungai Ujong. Dengan itu pasukan di bawah Leftenan Hinxman dihantar, dan akibatnya berlakulah pertempuran di antara pasukan British dengan pasukan Yamtuan Antah.

Pada awalnya pasukan Yamtuan Antah berjaya mengundurkan pasukan British ini, di samping itu berjaya menduduki Bukit Putus dan Paroi. Kejayaanini tidak lama kerana apabila tiba bantuan dari Singapura, Pulau Pinang dan Melaka pasukan Yamtuan Antah dikalahkan. Yamtuan Antah mengundurkan diri ke Johor.

Namun demikian akhirnya perjanjian dibuat pada 1876 di antara Yamtuan Antah dengan pihak British di mana Yamtuan Antah dikekalkan jawatannya tetapi terhad di Kawasan-kawasan yang patuh kepada Sri Menanti sahaja.

11 T. Braddell, op,cit, hlm. 202

12 Sila lihat T. Chelliah, “War in Negeri Sembilan 1874—1875’, Graduation Exercise, University of Malaya, Singapore, 1955, hlm. 43.

* Penulis adalah seorang pensyarah di Jabatan Sejarah Universiti Malaya

Facebook
Twitter
WhatsApp