TERKINI

Kebangkitan Anti-British Di Semenanjung Tanah Melayu – Bah. 5

Abdullah Zakaria b. Ghazali

British di Pahang

orang Datuk Bahaman – foto Kuantanloka

Di Pahang pula apabila J.P. Ridger menjadi Residen, beliau mula menjalankan langkah memperkenalkan peraturan-peraturan baru dan ini kemudiannya bercanggah dengan nilai-nilai tradisi dan seterusnya mewujudkan tentangan.

Beberapa jajahan atau daerah dibentuk di Pahang dan diletakkan di bawah pentadbiran Majistret dan Pemungut Hasil, di antaranya, Pekan di bawah F. Belfield; Ulu Pahang dibawah W.W. Michell dan Temerloh dibawah E.A. Wise.

Dengan perlantikan Majistret dan Pemungut Hasil ini menyebabkan peranan, tugas, kekuasaan dan kewibawaan tradisi pembesar tempatan tergugat. Dengan perkataan lain pembesar-pembesar tidak lagi bebas, kerana segala pentadbiran terserah kepada Majistret dan Pemungut Hasil.

Seterusnya orang Melayu tidak dibenarkan membawa senjata.13 Sekatan ini sekali lagi bercanggah dengan nilai-nilai tradisi, kerana sebelum ini orang Melayu sentiasa membawa senjata; dan senjata ini lebih merupakan untuk menjaga keselamatan dalam perjalanan. Pada masa itu perhubungan adalah sukar iaitu sama ada melalui jalan sungai atau darat merentasi semak-samun.

Datuk Bahaman yang memimpin gerakan menentang British telah menerima kesan akibat penglibatan British dalam pentadbiran Pahang. Kekuasaan tradisi beliau tergugat dan tersekat. Ini dapat dilihat berdasarkan kenyataan bahawa Datuk Bahaman telah diberi amaran kerana memungut cukai di Kawasan Semantan,14 pada hal kawasan Semantan adalah di bawah pentadbiran beliau.

Selain daripada ini pihak British telah mendirikan balai polis di Lubuk Terua dalam kawasan Semantan tanpa memberitahu terlebih dahulu kepada Datuk Bahaman. Tindakan mendirikan balai polis ini menyebabkan Datuk Bahaman mengajukan surat bantahan kepada Majistret dan Pemungut Hasil Temerloh, E.A. Wise.

Pihak British, sebagai ganjaran kepada kehilangan kekuasaan telah menawarkan elaun bulanan kepada Datuk Bahaman sebanyak 840.00 setahun.15 Sesungguhnya sudah pasti tawaran elaun ini lebih rendah daripada apa yang didapati oleh Datuk Bahaman sebelum ini manakala Datuk Bahaman pula meminta supaya elaun yang ditawarkan itu dinaikkan sebanyak 500.00 sebulan atau 16,000.00 setahun.

Permintaan Datuk Bahaman tidak dihiraukan oleh British. Namun demikian penentangan Datuk Bahaman bukan semata-mata disebabkan oleh masalah elaun kerana sememangnya sejak keterlibatan British dalam pentadbiran Pahang, Datuk Bahaman tidak puas hati sebab kehadiran British itu menyebabkan kekuasaan beliau tergugat.

Peristiwa penangkapan beberapa orang pengikut Datuk Bahaman yang sedang mengambil hasil hutan di Semantan oleh C.E.B. Desborough telah menjadi sebab timbulnya tindakbalas serta merta dari Datuk Bahaman terhadap British. Walupun Datuk Bahaman meminta supaya mereka dibebaskan, tetapi C.E.B Desborough enggan, dan menegaskan bahawa mereka ini akan diadili di Lubuk Terua. Dengan itu ketika dalam perjalanan ke Lubuk Terua, C.E.B. Desborough dan rombongannya diserang oleh orang-orang Datuk Bahaman. Dalam serangan ini tiga polis sikh dan seorang pendayung mengalami kecederaan namun demikian C.E.B. Desborough dan beberapa orang yang cedera itu berjaya menyelamatkan diri.

Datuk Bahaman mengumpulkan pengikut-pengikutnya untuk mengatasi sebarang kemungkinan daripada pihak British. Pihak British kemudiannya mengambil Tindakan dengan menghantar pasukan menyerang Datuk Bahaman. Dalam perjuangannya Datuk Bahaman mendapat sokongan daripada Mat Kilau dan Panglima Muda Jempol. Kemudiannya Tok Gajah pula menyertai perjuangan menentang British ini.

Pihak British dalam usaha mengatasi gerakan orang Melayu Pahang ini mendapat bantuan daripada orang-orang Pahang sendiri. Pasukan orang Melayu yang membantu British ini dikenali dengan pasukan Sultan.

Akhirnya orang Pahang di bawah pimpinan Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau mengundurkandiri hingga memasuki sempadan Kelantan dan Terengganu. Pengunduran mereka ini barangkali disebabkan adanya pasukan Sultan bersama-sama pasukan British. Kemungkinan mereka merasakan sekiranya menentang Sultan bererti menderhaka. Oleh sebab itu pejuang-pejuang Pahang lebih banyak berundur.

Tidak lama kemudian setelah bersembunyi di Kelantan dan Terengganu, pejuang-pejuang Pahang datang semula ke Pahang menyerang Jeram Ampai. Kejayaan mereka tidak lama kerana pihak British menghantarkan pasukannya dan berjaya mengalahkan pejuang-pejuang Pahang. Dengan itu sekali lagi pejuang-pejuang Pahang berundur dan akhirnya memasuki semula sempadan Terengganu dan Kelantan.

Apa yang menarik, peranan agama nampakntya menonjol dalam serangan peringkat kedua kerana para pejuangnya mensifatkan serangan itu sebagai perang sabil atau perang jihad. Inspirasi untuk berperang sabil datangnya dari Sayid Abdul Rahman al-Idurs atau lebih di kenali sebagai To Ku Palog di Terengganu.16

British mengambil masa yang lama untuk mematahkan kebangkitan di Pahang. Dari tahun 1891 hingga 1895, kekacauan berlaku dari semasa ke semasa dan pihak British terpaksa mengejar pejuang Pahang hingga ke Terengganu dan Kelantan. Kebangkitan di Pahang amat serius kerana pentadbiran British tidak sempat menjalankan kerja dengan licin; pembangunan dan pemungutan hasil tergendala. Pada tahun 1892 pentadbiran Pahang menghadapi krisis kewangan kerana tidak mendapat pinjaman daripada Negeri-negeri Selat. Krisi itu menjadi sebab penting kenapa kemudiannya Perak, Selangor, NegeriSembilan dan Pahang digabungkan sebagai Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Dengan ini juga negeri yang kaya dapat menolong negeri yang miskin.

Bersambung…

13 Jang Aisjah Muttalib, Pemberontakan Pahang 1891—1895, Pustaka Aman Press. Kota Bharu, Kelantan, 1972, hlm. 126-127.

14 Ibid. hlm. 149

15 Ibid. hlm. 142

16 Ibid. hlm. 218

* Penulis adalah seorang pensyarah di Jabatan Sejarah Universiti Malaya

Facebook
Twitter
WhatsApp