TERKINI

Kebangkitan Anti-British Di Semenanjung Tanah Melayu – Bah Akhir

Abdullah Zakaria b. Ghazali

Analisa

Perarakan merdeka – Foto University Malaya Library Guides

Dari apa yang digambarkan tentang gerakan anti-British di Semenanjung Tanah Melayu, ternyata bahawa kedudukan British di Negeri-negeri Melayu tidaklah selalunya diterima dengan sukarela oleh pembesar-pembesar tempatan, bahkan tidaklah keterlaluan jika sekiranya dikatakan bahawa pentadbiran British telah diwujudkan secara paksaan di setengah-setengah negeri terutamanya Selangor, Pahang dan Terengganu.

Di Perak dan Sungai Ujong memang ada pembesar tempatan yang sanggup menerima pentadbiran British kerana diharap keadaan baru itu akan membawa keuntungan kepada pembesar-pembesar tempatan yang berkenaan.

Tetapi apabila disedari, sebagaimana berlaku di Perak, bahawa wujdunya pentadbiran British bererti hilangnya kekuasaan tradisoonal, maka terdapat percubaan untuk mengusir pihak British.

Keseluruhannya, tentangan-tentangan terhadap pihak British itu merupakan percubaan oleh golongan pembesar yang kehilangan kuasa untuk mewujudkan kemabli keadaan sebelum campur tangan British.

Tetapi keadaan di Kelantan, lebih-lebih lagi di Terengganu, umpamanya memeperlihatkan beberapa ciri yang berbeza.

Di Kelantan dan Terengganu, perjalanan sistem pentadbiran (dengan undang-undang) British membawa kesengsaraan kepada rakyat kerana mereka dikehendaki membayar cukai yang baru.

Sekurang-kurangnya tiada bukti untuk menunjukkan bahawa dalam kebangkitan-kebangkitan sebelum abad ke-20, ketidakpuasan hati rakyat jelata adalah suatu faktor yang penting.

Tetapi, di Kelantan dan Terengganu serangan terhadap pihak pentadbiran diketuai oleh mereka yang bukan daripada golongan bangsawan.

Di antara Kelantan dan Terengganu juga terdapat p[erbezaan yang jelas kerana di Terengganu unsur agama ternampak memainkan peranan penting dalam tentangan terhadap pihak British.

Ketidakpuasan hati terhadap sistem atau undang-undang baru disuarakan oleh beberapa orang ulama dan mereka juga yang mendesak rakyat jelata supaya jangan patuh kepada undang-undang kafir.

Apa yang berlaku di Terengganu tidaklah menghairankan kerana sejak wujdnya kerajaan Terengganu memperlihatkan pengaruh islam yang jelas; sekurang-kurangnya para ulama memainkan peranan penting sebagai penasihat kepada raja, manakala para pemerintah Terengganu, terutamanya Sultan Zainal Abidin III pula mengambil berat tentang Agama Islam.

Mereka yang menentang British dihukum dengan berat. Di Perak, misalnya, Datuk Maharajalela dan Tok Sagor digantung; Sultan Abdullah dan Orang Kaya Menteri dibuang negeri (ke Pulau Seychelles).

Datuk Bahaman dan Tok Gajah, dua orang pembesar yang rapat dengan Sultan Ahmad digugurkan kedudukan istimewa mereka. Di setengah-setengah negeri, jawatan-jawatan yang dipegang oleh pembesar-pembesar yang berpihak kepada British diberi pengiktirafan dan kedudukan rasmi oleh pentadbiran British.

Di tiap-tiap negeri di mana kebangkitan berlaku, pentadbiran British hanya dapat dijalankan dengan lancarnya selepas kebangkitan dapat dipatahkan dan pembesar-pembesar yang sanggup bekerjasama dengan pihak British dilantik untuk memegang jawatan-jawatan yang tertentu.

Selanjutnya pihak British cuba memilih anak-anak golongan bangsawan untuk dilatih supaya mereka dapat berkhidmat dengan kerajaan, tetapi dasar untuk menjadikan mereka sebagai pegawai pentadbir hanya mula dilaksanakan menjelang Perang Dunia Pertama dan selepas wujudnya Maktab Melayu Kuala Kangsar yang digunakan sebagai pusat Latihan pegawai pentadbir Melayu.

Adalah munasabah kalua dikatakan bahawa segala gerakan yang berlaku itu bukanlah memberontak atau menderhaka, tetapi lebih merupakan satu tentangan terhadap British. Dikatakan demikian kerana adalah aneh kalua digunakan istillah ‘pemberontakan’ terhadap gerakan orang Melayu yang menentang British.

Begitu juga dengan ‘penderhakaan’ kerana kedua-dua konsep itu bererti menentang sultan. Sumber-sumber yang ada tidak sebenarnya membuktikan bahawa kebangkitan-kebangkitan itu adalah menentang sultan.

SEKIAN

  • Penulis adalah seorang pensyarah di Jabatan Sejarah Universiti Malaya
Facebook
Twitter
WhatsApp