Puteri Kesateria Bangsa
PERJUANGAN AWAL
Khatijah Sidek dilahirkan pada 1918, di Pariaman, Sumatera Barat, Indonesia, sebagai seorang anak niat yang kelahirannya bukan sahaja diidamkan kerana beliau adalah anak yang kesepuluh setelah deretan sembilan anak lelaki, bahkan juga kerana keluarganya sebuah keluarga Minangkabau yang beresam adat perpatih, yang bersifat matrilineal. Beliau adalah anak perempuan sulung yang mewarisi harta keluarga. Tradisi Minangkabau dan keistimewaan kedudukannya dalam keluarga ini jelas mempengaruhi pembentukan keperibadian beliau yang mempunyai iltizam tinggi terhadap tanggungjawab sebagai pemimpin serta pembela masyarakat.
Dia juga memupuk perkembangan sifat yakin diri, cekal berhadapan dengan cabaran, lantang dan berani, serta sanggup mengambil jalan militan jika perjuangan menuntut cara yang demikian. Sifat ini, bagaimanapun, kemudiannya ternyata menjadi gergaji dua mata dalam beliau mengharungi kancah politik zaman pembentukan negara baru merdeka di Persekutuan Tanah Melayu. Walaupun sifat ini menjadi pendorong dan kekuatan kepada ketokohannya dan sekaligus menjadikan beliau tokoh Wanita kebangsaan yang kontroversial dan radikal bagi zamannya.
Akhirnya, sifatnya itu menyebabkan beliau tersingkir daripada arus perjuangan politik kebangsaan Melayu pada saat-saat tercapainya kemerdekaan, dan kemudian, sekali lagi dalam dekad awal pengisisan kemerdekaan tersebut. Pertama, disingikir daripada UMNO pada 1956 dan keduanya, daripada PAS pada 1960an.
Daripada sejarah hidupnya, ternyata semangat antipenjajah dan semangat kemerdekaan telah meresapi jiwa Khatijah Sidek semenjak beliau bersekolah Belanda di Indonesia. Di sekolah tersebut, beliau telah menyertai persatuan pelajar dan belia Indonesia seperti Keputerian Indonesia Muda dan Kepanduan Bangsa Indonesia yang bertemakan perjuangan kemerdekaan.
Kerana kegiatannya itu beliau dibuang sekolah pada 1932. Diskriminasi yang dialaminya dalam sistem pendidikan penjajah dan pengalamannya berhadapan dengan pihak berkuasa penjajah, bukan sahaja telah memupuk semangat kemerdekaan, tetapi juga membentuk kecenderungan beliau kepada gaya tindakan yang agresif dan militan dalam konteks perjuangan kemerdekaan.
Sebaik sahaja Khatijah Sidek mengakhiri pengajiannya dalam sistem persekolah Belanda, beliau terus menjadi aktivis perjuangan kemerdekaan Indonesia dengan menunjukkan kemampuan awal dalam menyusun serta memimpin barisan wanita dan belia tempatan. Kebolehan beliau yang pertama tertonjol apabila beliau menubuhkan Ardjasni (1933—36)3.
Sebagai ketua Ardjasni, beliau bukan sahaja menunjukkan sifat disiplin diri yang patut ada pada seorang pemimpin, tetapi juga menuntut disiplin yang tinggi daripada anggotanya. Beliau pada waktu itu baru berumur belasan tahun. Namun, pada peringkat ini beliau bercita-cita untuk memimpin masyarakat Indonesia memperjuangkan kemerdekaan daripada Belanda, membela kedudukan serta hak wanita, dan menjadi pemimpin wanita ke arah kemajuan dan kemerdekaan. Ternyata kemudiannya bahawa sekali beliau bercita-cita, beliau terus tidak berganjak lagi daripada landasan perjuangan politik dan sosial yang dipilihnya.
Cita-cita ini seterusnya dimantapkan melalui gerakan Puteri Kesateria yang beliau tubuhkan pada tahun 1944, semasa zaman penjajahan Jepun, di Bukit Tinggi, sekitar 120 kilometer dari Pariaman di Sumatera Barat. Penubuhannya berlatarbelakangkan semangat antipenjajahan Belanda. Cita-cita itu terus dipupuk, bukan sahaja dalam konteks semangat kebangsaan yang digalakkan Jepun, tetapi juga dalam konteks kekejaman penjajah Jepun sendiri, khususnya terhadap wanita tempatan.
Melalui pimpinan Khatijah Sidek, gerakan Puteri Kesateria menjadi agen sosial yang mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran tentang kesihatan serta pengurusan rumahtangga di kalangan ahlinya yang terdiri daripada gadis tempatan dan kawasan sekitar. Lebih penting lagi, daripada segi politik serta semangat perjuangan kebangsaan ahlinya.
Kesan sosial dan politik yang langsung terhadap ahlinya dirasai dan berkembang juga di kalangan penduduk tempatan, sehingga beliau diberi mereka jolokan Ibu Merdeka. Kejayaan inilah yang meransangkan semangat Khatijah Sidek untuk mengembangkan sayapnya ke Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu.
Khatijah Sidek tiba di Singapura dan meninjau ke Persekutuan buat pertama kalinya pada 1946. Beliau kembali lagi pada tahun berikutnya dan bergerak terus dalam percaturan politik Semenanjung Tanah Melayu, melalui pelbagai tahap perubahan, sehinggalah kematian beliau di Kuala Lumpur pada 1982, ketika umurnya 64 tahun.
Beliau meninggal dalam keadaan miskin harta dan miskin penghargaan tanah air. Walau bagaimanapun, beliau telah melalui pahit getir perjuangan dengan cekal dan tabah kerana baginya, kewibawaan dan ketokohan seorang pejuang dan seorang pemimpin bukan sahaja diukur atas kejayaannya, bahkan lebih-lebih lagi atas ketabahannya mengharungi penderitaan dan pengorbanan demi perjuangan tersebut.
Bersambung
Penerbit : UKM
3 Kumpulan enam orang pelajar Minangkabau yang mengikuti kursus perguruan di Sekolah Normal Perempuan di Padang Panjang, Sumatera. Ketua kumpulan ini ialah Khatijah Sidek. Ahli-ahlinya yang lain ialah Nurcahaya, Mahyar, Nursiah, Rahmani dan Norhatama. Matlamatnya ialah untuk bekerjasama demi mencapai kejayaan yang cemerlang, khususnya menyaingi rakan pelajar mereka dari Tapanuli yang beragama Kristian. Selepas tamat pengajian pada 1936, mereka bertekad menyertai perjuangan kemerdekaan Indonesia dan meningkatkan kedudukan serta kemampuan kaum Wanita. (Fail Khatijah Sidek. Temu bual 14 Oktober 1976. Arkib Negara Malaysia, Kuala Lumpur).