TERKINI

Memoir Khatijah Sidek – Bah. 5

Puteri Kesateria Bangsa

PEMBELA WANITA

malayadaily.com

Sebagai pembela wanita, pada tahun 1956, tidak beberapa lama sebelum penyingkiran beliau daripada UMNO, beliau pernah mencadangkan supaya ditubuhkan satu parti politik wanita dengan nama Kesatuan wanita, iaitu suatu gerakan wanita yang progresif dan kuat untuk kepentingan wanita.

Beliau menganggapnya perlu kerana sikap tidak tegas serta tidak acuh pemimpin lelaki terhadap hak dan sumbangan wanita dalam kehidupan sosial serta politik tanah air.

Malah, beliau menganggap, dan ternyata beralasan, bahawa pucuk pimpinan Wanita UMNO sendiri pun terlalu tebal dengan nilai konservatif tentang peranan wanita dalam kehidupan awam. Beliau juga mengkritik secara terbuka pucuk pimpinan wanita yang ada pada waktu itu kerana tidak peka terhadap kedudukan serta kepentingan wanita di kalangan rakyat biasa, khususnya mereka di kawasan luar bandar.

Walau bagaimanapun, cadangan ini tidak dipersetuji oleh Ibu Hajjah Zain dan beliau menasihati Khatijah Sidek supaya bersabar serta meneruskan perjuangan kebangsaan dalam UMNO14.

Bagi Khatijah Sidek, wanita luar bandar harus diberikan pendidikan yang lebih baik, dibimbing untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka yang rendah, dan dibebaskan daripada kekangan struktur keluarga yang didominasi oleh kepentingan lelaki.

Sebaliknya, beliau menganggap pemimpin wanita ketika itu rata-rata bukan sahaja tidak memenuhi tanggungjawab sebagai pemimpin yang seharusnya berinisiatif untuk meningkatkan kedudukan kaum wanita, bahkan dengan sikap dan sifat elitis mereka, mereka menjauhkan golongan wanita yang sepatutnya mereka pimpin dan dampingi.

Sebagaimana biasa berlaku dalam kehidupan manusia bermasyarakat, sifat ketokohan dan matlamat perjuangan seperti yang ada pada Khatijah Sidek disanjungi dan dihargai oleh mereka yang dibela, tetapi ditentang dan tidak dapat diterima oleh mereka yang menjadi sasaran. Beliau dipecat daripada keahlian dan pucuk pimpinan UMNO15.

Dengan sedikit perbezaan, penyertaan Khatijah Sidek dalam pucuk pimpinan PAS, Parti Islam Se-Tanah Melayu (kemudian Parti Islam Se-Malaysia), mulai bulan Oktober 1958, juga bersifat kontroversial, walaupun kemasukan beliau itu dipelawa dan digalakkan oleh Presidennya, Dr. Burhanuddin al-Helmi.

Dalam PAS, pengkritik beliau terdiri daripada golongan konservatif agama yang tidak senang dengan pimpinan wanita yang menonjol dalam politik, sungguhpun niatnya sendiri hanyalah untuk ‘berjasa di jalan Allah’ seperti yang pernah diingini oleh ibunya.

Namun, arus politik dalam dan luar PAS pada waktu itu tidak dapat menampung seorang tokoh pembela wanita dan pejuang kebangsaan radikal sepertinya dan beliau disingkirkan daripada arus utama politik PAS. Khatijah Sidek sendiri menganggap penyingkiran ini ialah kerana semangat kenegerian dan pilih keluarga yang menjadi amalan anggota serta pucuk pimpinan PAS di bawah pimpinan Dato’ Asri b. Haji Muda pada masa itu16.

Penerbit : UKM

14 Lihat bab 9 buku Memoir Khatijah Sidek

15 Tindakan ini dijayakan melalui kekecohan di sekitar penggunaan gaji, RM 100.00 sebulan yang dibayar oleh UMNO untuk setiausaha kerja Khatijah Sidek. Khatijah Sidek sendiri tidak berpeluang untuk menerangkan kedudukan pihaknya. Lihat juga buku Memoir Khatijah Sidek. Bab 10: “Kerusi Untuk Wanita”. Lihat juga Manderson Wanita, politik dan Perubahan. Pergerakan Kaum Ibu UMNO Malaysia, 1945-72. Kuala Lumpur: Fajar Bakti 1981, hlm.170-172.

16 Transkrip temubual oleh Nadi Insan, Mac 1980, hlm. 16.

Facebook
Twitter
WhatsApp