Kenyataan penubuhan badan majlis sejarawan kebangsaan harus disambut baik oleh wargnaegara Malaysia. Namun penubuhan mekanisme seperti itu tidak seharusnya diasaskan oleh kerajaan atau pihak negara.
Tanggungjawab mencetus dan merangka mekanisme itu paling sesuai dilakukan oleh sebuah badan yang berkecuali seperti Persatuan Sejarah Malaysia.
Dan lebih baik lagi, mekanisme itu boleh dibentuk sebagai satu Suruhanjaya – Suruhanjaya Sejarah Kebangsaan bagi meluruskan pelbagai kekusutan dalam sejarah Malaysia.
Suruhanjaya itu hendaklah ditubuhkan melalui proses legislatif – dengan penggubalan akta. Ia berfungsi sebagai tribunal sejarah dalam menimbangtara dan mengadili tuntutan-tuntutan; serta menyiar keputusan, dan mempromosikan lalu melaksanakan pendidikan sejarah dan sejarah awam.
Suruhanjaya itu akan merupakan satu badan yang autoritatif mengenai sejarah Malaysia. Mekanisme tersebut kritikal apatah lagi wujud satu kesedaran baharu mengenai sejarah negara sejak lebih dari dua dekad kebelakangan ini.
Satu kajian yang dilakukan antara 2015 dan 2017 mendapati sejarah negara – naratif, perspektif dan kefahaman berdasarkan kepada dua faktor; pertama etnik dan kedua wilayah.
Dalam pada itu terdapat pelbagai naratif dan sentrisme yang kian menyerlah menampakkan arus dan alur yang berbeza, dan tidak selari, lalu menimbulkan polemik. Malah wujud kontradiksi dan banaran, menganggu gugat sejarah pribumi.
Ini perlu disebut akibat dari tuntutan-tuntutan pelbagai dari pelbagai etnik dan komuniti supaya sejarah negara berlandaskan kepada kepercayaan pelbagai budaya. Sejarah Malaysia mestilah sama rata, seperti yang disuarakan oleh beberapa pihak. Isu sebegini wajar dibincangkan oleh sebuah badan seperti yang dicadangkan.
Suruhanjaya tersebut dapat berfungsi sebagai satu pelantar dialog dan perbincangan pada peringkat formal mengenai sejarah kebangsaan. Di sebalik wacana formal ialah perbualan, interaksi dan reaksi pada peringkat popular melalui kelompok-kelompok individu, badan bukan kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan sivil, serta media.
Mekanisme Suruhanjaya ini perlu dijalin dengan fungsi dan peranan media. Media menjadi penyalur dan pemangkin kepada keputusan dan naratif yang dibawah oleh perusuhanjaya tersebut. Di sinilah dapat kita lihat kritikalnya media – suratkhabar dan portal berbahasa Melayu.
Institutsi media, editor dan wartawan Melayu mesti peka dan mempunyai kesedaran sejarah yang tinggi. Liputan sejarah di suratkhabar dan portal media berbahasa Melayu mesti akur bahawa asas seajrah Malaysia ialah masyarakat dan tamadun Melayu. Dengan itu, peranan media Melayu dalam liputan sejarah hendaklah ditanam dengan sebaibaiknya.
Melalui media, segala keputusan, pengumuman dan pengisytiharan mesti dilakukan dengan jelas, tegas dan sempurna. Sejarah bukan hanya tersimpan dalam fail dan almari, dibaca dari buku teks, terapung dalam ruang siber, tetapi dinyatakan dan dipaparkan dari sumber yang definitif dan berautoriti dan pada instituti-institusi awam.
Kini negara memerlukan jalinan sebuah autoriti bebas, kesarjanaan dan media bagi memulihara dan mencorak arah tuju perjalanan sejarah negara.
Sebuah Suruhanjaya Sejarah Kebangsaan dapat menjadi pengantara antara wacana popular, wacana akademik dan wacana dasar negara.
-Tamat
Oleh : Ahmad Murad Merican
Prof Dato Dr Ahmad Murad Merican adalah seorang Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa (UIAM)