TERKINI

Mengenali Fatima al-Fihri : Pengasas penubuhan universiti pertama di dunia

Gambar hiasan – malayadaily.com

Selain daripada sumbangan sarjana Islam dalam aspek perubatan, satu lagi sumbangan penting kepada dunia ialah penubuhan pusat pengajian ilmu, universiti.

Ahli sejarah, Profesor Dr Doulaye Konaté, Lily Mafela dan Profesor Christopher Ogbogbo dalam kajiannya menyatakan bahawa Universiti pertama dan tertua pernah dikaji ialah universiti al-Qarawiyyin.

Ia ditubuhkan oleh seorang wanita alim bernama Fatima al-Fihri.

Fatima al-Fihri dilahirkan pada tahun 800 M di bandar Kairouan, Tunisia.

Beliau adalah anak kepada Mohammed Bnou Abdullah al-Fihri – seorang saudagar yang berjaya semasa zaman pemerintahan Idris II. Fatima berketurunan Arab Qurayshi, dengan nama “Fatima al-Fihri al-Qurashhi”.

Fatima seorang yang taat dan kuat dalam beribadah. Dia mewarisi sejumlah besar kekayaan keluarganya. Pada masa bapanya dan suaminya meninggal dunia, dia memutuskan untuk menggunakan warisan kekayaan itu untuk membina sebuah masjid sekitar tahun 845 M.

Pembinaan masjid tersebut sangat diperlukan oleh masyarakat Islam di Fez, yang dapat memuatkan jumlah jemaah yang semakin bertambah.

Selepas membeli tanah daripada seorang lelaki dari suku “Hawaara”, Fatima memulakan projek pembinaannya pada awal bulan Ramadan tahun 254 H, iaitu 859 M dibawah pengawasan Raja Yahya ibn Muhammad.

Selepas selesai menyiapkan masjid, Fatima mendirikan Universiti al-Qarawiyyin sebagai lanjutan tempat ibadat.

Ia merupakan universiti yang paling lama beroperasi di dunia dan sering dirujuk sebagai universiti tertua di dunia.

Dengan menjadi institusi pertama yang menganugerahkan ijazah bagi kursus Pengajian Islam, matematik, tatabahasa, dan perubatan.

Perpustakaan di al-Qarawiyyin dianggap sebagai yang tertua di dunia. Koleksi buku ilmiah diperpustakaannya, lebih 4000 manuskrip termasuk al-Quran abad ke-9 dan koleksi hadis-hadis yang terawal.

Bermula dari abad ke-10, masjid terkenal al-Qarawiyyin itu telah bertukar menjadi institusi agama yang pertama dan universiti Arab terbesar di Afrika Utara. Ia menarik ramai pelajar dan saintis yang terkenal untuk bersama universitinya.

Berdasarkan catatan sejarawan dan rekod UNESCO, Universiti al-Qarawyyin dianggap sebagai universiti tertua di dunia yang masih beroperasi, mendahului universiti Eropah yang pertama. Acara ilmu, simposium dan perbahasan kerap dianjurkan di sana.

Usia universiti ini mendahului Masjid Sankore di Timbuktu (diasaskan pada 989 M) iaitu lebih daripada satu abad dan Universiti Bologna (1088 M) yang lebih daripada dua abad.

Graduannya termasuk beberapa orang penyair, tokoh Faqîh (ahli hukum Islam), ahli sains astronomi dan ahli matematik dari seluruh rantau itu. Universiti al-Qarawyyin menjadi model kepada universiti-universiti utama dunia.

Nama-nama terkenal yang pernah bersama dengan al-Qarawyyin ialah ahli sejarah, Abdurahman Ibn Khaldun, doktor dan ahli falsafah Abu Walid Ibn Rushd, doktor Andalusia Musa Ibn Maimonou dan Gerbert dari Aurillac, yang menjadi Pope Sylvester II.

Fatima al-Fihri meninggal dunia sekitar tahun 880 M. Beliau dianggap sebagai seorang wali dan sangat dihormati di kalangan orang agama, terutamanya di Fez.

Pada tahun 2017, satu perghormatan telah diberikan di Tunisia sebagai penghormatan kepadanya sebagai pengasas intitusi tersebut.

Hingga kini, universiti al-Qarawiyyin terus menjadi pusat pengajian terulung di dunia, khususnya dunia Islam.
– malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp