TERKINI

NASIONALIS Dan Perjuangan Bangsa Melayu – 1

Gambar hiasan

NASIONALIS meletakkan bangsa Melayu di kedudukan yang istimewa di dalam perjuangannya. Ini mungkin antara yang membezakan NASIONALIS dengan pendekatan yang diambil oleh badan-badan pertubuhan atau persatuan lain di dalam dakwah dan perjuangan dalam negara yang mempunyai masyarakat dari pelbagai bangsa dan agama.

NASIONALIS mengiktiraf dan sentiasa komited untuk menjaga kepentingan semua bangsa dan agama di Malaysia berdasarkan apa yang termaktub di dalam perlembagaan.

Pendekatan memberikan bangsa Melayu beberapa keistimewaan ini juga sebenarnya adalah berdasarkan apa yang termaktub di dalam perlembagaan yang digubal dengan mengambil kira faktor sejarah dan faktor-faktor lain negara ini.

NASIONALIS meletakkan orang Melayu sebagai bangsa tonggak kepada negara. Ini kerana tanpa orang Melayu yang merupakan penduduk asal di Malaysia maka tiadalah Malaysia pada hari ini. Melayu adalah penduduk asal yang telah mencorakkan Malaysia dalam satu sejarah yang panjang bermula sebelum penubuhan negara Langkasuka lagi.

Dengan penubuhan Langkasuka dan kemudian diikuti dengan penubuhan Empayar Melaka, terbinalah sebuah negara yang kuat dan menjadi rebutan penjajah dari Barat dan Timur. Dan disepanjang sejarah lebih 20 kurun itu, orang Melayulah bangsa yang ada di setiap peristiwa jatuh bangun negara ini.

Dari situ NASIONALIS menganggap orang Melayu sebagai bangsa yang akan menjadi penentu kepada kemakmuran dan kemajuan negara. Congak mudah yang diambil oleh NASIONALIS adalah kerana orang Melayu masih merupakan bangsa majoriti dan bangsa yang paling sayangkan kepada negara ini.

Walau pun tidak dinafikan bangsa lain juga ada menyumbang kepada kemakmuran negara, tetapi peranan orang Melayu adalah lebih menonjol. Jika semua bangsa membangunkan negara ini tetapi Melayu merosakkannya, maka negara ini akhirnya akan rosak. Kemakmuran Malaysia amat bergantung kepada sikap dan tindak tanduk orang Melayu.

Adalah suatu yang amat tidak strategik jika kita menumpukan pembaikan negara hanya kepada bangsa-bangsa lain dan mengetepikan pembaikan kepada bangsa Melayu. Kedudukan orang Melayu sebagai bangsa majoriti dan yang akan sentiasa menjadi bangsa majoriti, itulah yang akan menentukan negara ini makmur dan maju.

NASIONALIS seterusnya menganggap orang Melayu sebagai asas penting dalam identiti Malaysia. Sejarah yang panjang telah mengukuhkan tiga rukun utama negara ini iaitu Melayu, Islam dan Institusi Raja. Tiga rukun ini adalah tiga yang membentuk identiti negara. Ia terhasil dari sejarah yang panjang dan wajib dipertahankan.

Perlembagaan Persekutuan yang digubal pada 1957 dan dipersetujui bersama oleh semua bangsa ketika itu meletakkan beberapa pengukuhan kepada ketiga-tiga rukun itu. Melayu diberikan hak keistimewaan tertentu di dalam perlembagaan. Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara. Islam adalah agama Persekutuan berdasarkan Perlembagaan. Bahkan kedudukan Islam dikukuhkan dengan sumpah Yang

Di-Pertuan Agong dan beberapa peruntukan lain di dalam Perlembagaan. Malaysia merdeka dengan mengambil konsep negara Demokrasi Berparlimen dengan Raja Berperlembagaan. Institusi Raja kekal dan diberikan bidang kuasa tertentu walau pun negara mengambil konsep negara demokrasi.

– Bersambung bahagian 2

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp