MALAYSIA MAJU BERTUNJANGKAN KEKUATAN MELAYU ISLAM’

NASIONALIS mengimpikan Malaysia sebagai negara yang memenuhi segala aspek kemajuan. Tetapi kemajuan yang dimaksudkan oleh NASIONALIS berbeza dengan ciri-ciri kemajuan yang dikehendaki oleh Barat.
Jika Barat merujuk negara maju itu kepada dimensi perkembangan ekonomi, penglibatan seluruh masyarakat dan keselamatan persekitaran sebagaimana yang selalu mereka laungkan dalam slogan SDG (sustainable development goals) mereka, NASIONALIS mengambil satu dimensi yang lebih meluas dan menyeluruh.
NASIONALIS mengambil pendekatan yang dirumuskan oleh ulama-ulama Islam silam di dalam pembangunan sesebuah negara. Mereka dari kalangan para ulama merumuskan bahawa negara yang maju itu mesti mempunyai empat ciri negara maju iaitu ‘tamadun’, ‘hadharah’, ‘adab’ dan ‘umran’.
Tamadun berasal dari perkataan ‘madani’ yang bermaksud sivil atau masyarakat awam. Negara yang bertamadun bermaksud negara yang mempunyai sistem sosial kemasyarakatan yang baik. Barat membangunkan negara atas sikap individualistik kerana mereka berpegang kepada falsafah humanisme.
Kesannya adalah setiap rakyat memikirkan pulangan kepada diri sendiri lebih banyak dari memikirkan pulangan kepada kolektif dan kumpulan. NASIONALIS akan membangunkan negara dengan membina satu masyarakat yang akan sentiasa berinteraksi dalam satu ikatan sosial yang kukuh dan tersusun. Masing-masing di peringkat individu mempunyai citacita kolektif yang sama.
Dari situ mereka membentuk sistem interaksi yang akan saling menjaga hak dan batas masing-masing agar semua orang akan mendapat manfaat dan terhindar dari kemudharatan disebabkan tindakan individu lain.
Hadharah pula berasal dari perkataan ‘hadir’ yang bermaksud yang baru tiba. Negara yang hadhari bermaksud negara yang mempunyai segala yang ‘paling baru’ iaitu yang paling maju dan terkini dalam segenap aspek kehidupan.
Antara impian NASIONALIS adalah Malaysia membangun sebagai negara yang mempunyai teknologi paling moden, berkomunikasi dengan sistem paling berkesan, mengurus negara dengan kaedah paling kehadapan, mempertahankan negara dengan senjata paling terkini lagi canggih dan membangunkan pertanian dan industri dengan peralatan paling termoden.
Begitulah impiannya di dalam bidang-bidang yang lain iaitu semuanya membangun dengan suatu yang paling terkehadapan dan kelas pertama. Adab adalah perkataan yang difahami oleh semua dengan maksud akhlak dan sikap yang baik.
Negara berperadaban bermaksud negara yang dibangunkan dengan nilai-nilai yang baik. Barat membangunkan negara dengan penumpuan kepada aspek ekonomi tanpa meletakkan adab sebagai satu kepentingan negara. Dari situ kita melihat mereka menggubal undang-undang yang mempertahankan perbuatan tidak beradab seperti pergaulan bebas, seks songsang, zina dan perbuatan mabuk minum arak.
NASIONALIS akan membangunkan Malaysia dengan membina masyarakat yang mengamalkan akhlak manusiawi yang baik dan mulia. Negara tanpa adab adalah negara yang menunggu kehancuran. NASIONALIS tidak mahu kemungkaran itu berlaku kepada Malaysia. Umran pula bermaksud makmur.
Negara yang umran adalah negara yang makmur dengan ertikata ia adalah negara yang hidup dan sibuk dengan aktiviti manusia membangunkan segala yang ada di buminya.
NASIONALIS mengimpikan Malaysia menjadi negara makmur yang hidup dan tidak menjadi bumi gersang tanpa aktiviti. Ia bermaksud tanahnya dibangunkan, hasil buminya dikeluarkan dan diproses menjadi produk untuk rakyat, sungai serta lautnya dinikmati sebaiknya oleh rakyat dan udaranya dihirup segar.
NASIONALIS tidak mahu masyarakat Malaysia menjadi pasif tidak membangunkan hasil bumi di tanah yang mereka pijak ini. Sikap inilah yang menjadikan banyak hasil bumi terbiar atau dikaut oleh pihak luar.
NASIONALIS tidak mahu perkara seumpama itu berterusan kerana negara akan sentiasa rugi dengan keadaan sedemikian.
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com