TERKINI

NASIONALIS Dan Perjuangan Bangsa Melayu – Akhir

MALAYSIA NEGARA ISLAM

Gambar hiasan

Dalam perjuangan membangunkan negara, NASIONALIS meletakkan salah satu dari prinsip perjuangannya bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam dan akan kekal begitu selamanya. Status Malaysia sebagai negara Islam boleh dilihat dari tiga sudut yang utama.

i. Dari segi sejarah, Malaysia dahulunya adalah sebuah wilayah kekuasaan yang dikenali sebagai Empayar Melayu Islam Melaka. Pemerintahnya adalah Sultan-sultan Islam. Majoriti rakyatnya adalah beragama Islam yang mengamalkan cara hidup Islam. Undang-undang ketika itu iaitu Undang-undang Melaka dan Undang-undang Laut Melaka adalah undang-undang yang berteraskan Islam.

Mahkamahnya adalah mahkamah yang menggunapakai undang-undang tersebut. Budaya di dalam kehidupan sosial, berpakaian, adat resam dan seumpamanya juga adalah berteraskan Islam. Pendidikan yang diberikan kepada masyarakat juga adalah pendidikan berteraskan Al-Qur’an dan as-Sunnah.

Begitulah berjalan keadaannya selama berkurun-kurun lamanya sebelum dirosakkan oleh penjajah yang membawa masuk nilai-nilai Barat yang asing dari masyarakat tempatan.

ii. Dari segi syarak, pandangan ulama Islam yang berbeza-beza di dalam mentakrifkan negara Islam bersepakat kepada satu noktah iaitu semua negara yang mana orang Islam di situ mempunyai kedaulatan ke atas diri mereka di negara berkenaan, mereka boleh menegakkan hukum-hukum dan syiar-syiar Islam di dalamnya, maka itu adalah negara Islam.

Di dalam mazhab Syafie pula mana-mana negara yang pernah menjadi negara Islam, status negara Islam tidak akan hilang berdasarkan hukum Islam sekali pun umat Islam telah dijajah di negara berkenaan. Dengan itu amat jelas bahawa status negara ini di segi syarak juga adalah kekal sebagai sebuah negara Islam.

Penjajahan yang berlaku tidak mengubah statusnya. Begitu juga perlembagaan yang mungkin ada sebahagiannya yang tidak bertepatan dengan Islam juga tidak menukar statusnya dari negara Islam.

iii. Dari segi perlembagaan pula, kita dapat melihat begitu banyak peruntukan yang diberikan oleh perlembagaan yang menegaskan bahawa negara ini adalah negara Islam. Islam adalah agama persekutuan menurut Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan juga memberikan perlindungan kepada agama Islam apabila ada larangan agama lain dari melakukan dakyah kepada umat Islam.

Terdapat sumpah Yang Di-Pertuan Agong untuk memelihara Islam dalam segenap masa. Diperingkat negeri pula diletakkan Sultan-sultan sebagai Ketua Agama Islam. Disamping itu terdapat diperingkat negeri juga undang-undang pentadbiran Islam yang kemudiannya diperkasakan melalui perlaksanaan undang-undang oleh mahkamah syariah.

Terdapat juga peruntukan yang diberikan oleh perlembagaan untuk penubuhan Majlis-majlis Agama Islam dan Institusi-institusi Islam bagi memelihara umat Islam. Semua itu membentuk satu ciri Islam yang amat jelas kepada negara Malaysia.

NASIONALIS bertegas di dalam menolak segala usaha untuk merubah status negara ini. Cubaan telah pun berlaku sejak dari zaman penjajahan lagi apabila penjajah cuba sedaya upaya mereka untuk mengubah undang-undang, sistem pendidikan, sistem ekonomi dan juga budaya masyarakat.

Usaha itu tidak berjaya sepenuhnya, tetapi pejuang kemerdekaan sepanjang zaman berjaya mengekalkan banyak ciri Islam dalam segenap aspek tersebut.

Cubaan juga dapat kita lihat dalam sepuluh tahun sebelum kemerdekaan apabila munculnya slogan perjuangan ketika itu iaitu ‘Malaya for Malayan’ yang bermaksud Tanah Melayu adalah milik bersama untuk semua yang duduk menghuni di sana, tidak kira sama ada mereka orang Melayu atau bukan Melayu.

Malayan Union adalah satu lagi cubaan selepas itu untuk merubah status negara ini. Dan selepas kemerdekaan muncul pulaslogan Malaysian Malaysia dan ianya berterusan hingga ke hari ini menjadi slogan yang cuba untuk mengubah status negara.

Tahun 2008 berlaku perubahan angin rakyat yang menyaksikan permulaan kepada perubahan besar negara. Slogan Malaysian Malaysia yang pernah senyap selepas 1969 akhirnya muncul kembali dan membentuk satu gabungan yang menamakan diri mereka sebagai COMANGO dan menuntut perubahan-perubahan dasar dalam perlembagaan yang akan membawa kepada perubahan status negara.

Kerajaan yang sudah lemah ketika itu mula memperkenalkan konsep One Malaysia pada 2009 sebagai saingan kepada slogan Malaysian Malaysia mungkin untuk menarik kembali hati rakyat.

Tetapi NASIONALIS mengambil langkah tegas untuk terus mengekalkan Malaysia dengan status dan konsep negara Islam. Apa-apa yang kurang dalam perlaksanaan Islam, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk menyempurnakannya dan bukan menjadi satu alasan untuk berundur lalu mengisytiharkan Malaysia bukan lagi negara Islam.

Artikel ini adalah petikan dari buku ‘Hala Tuju gabungan Nasionalis’

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp