TERKINI

Penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 (1)

Journal of Nusantara Studies 2017, Vol 2(1) 27-39 | Universiti Sultan Zainal Abidin
Raja-raja Dalam Penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 : Satu Kajian Sejarah Perundangan

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 – foto Flickr

PENGENALAN

Kajian ini membahaskan satu isu penting iaitu penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, atau dalam bahasa yang lebih mudah, penggubalan dan penguatkuasaan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Menurut Bari (2008, p.182):

The state administration system and constitutionalism were already in place when the British set foot on the Peninsula in the late 18th. Century. One evidence is the 15th. Century Sultanate of Malacca’s constitutional document, the Malacca Code or Kanun undang-undang Malacca (Hukum Kanun Melaka).

Pandangan popular termasuklah kebanyakan sarjana pada hari ini mendakwa bahawa Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 adalah sebuah kontrak sosial hasil rundingan antara kaum yang akhirnya sepakati oleh `our forefathers’, iaitu pemimpin Perikatan.

Banyak penulisan meletakkan taraf Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 sebagai `a consequence of constitutional bargaining’ (Verma, 2003, p. 33).

Dakwaan kontrak sosial itu seterusnya membina satu pandangan baru bahawa tanpa persetujuan kaum penghijrah dan rakyat British yang mendiami Negeri-negeri Selat; kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, peranan Raja-Raja Melayu dalam pemerintahan negara, hak istimewa orang-orang Melayu dan kedudukan bahasa Melayu, pastinya kemerdekaan tanahair tidak diberikan oleh British.

Pendapat lain pula mengatakan kesemuanya itu adalah ciptaan perlembagaan (creation of constitution) yang digubal oleh Suruhanjaya Reid berasaskan amalan ‘westminister’ yang meletakkan kekuasaan Raja-raja Melayu hanya bersifat simbolik (Verma, 2003, p.59).

Timbulnya persepsi sedemikian adalah kerana pihak-pihak berkenaan terlepas pandang yang kedudukan Raja-Raja Melayu, Islam, bahasa dan hak orang-orang Melayu adalah warisan tempatan bertaraf jati diri Tanah Melayu sebelum penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 itu lagi.

Mereka mengabaikan fakta bahawa sudah ada Perlembagaan Tanah Melayu seawal Kanun Melaka malah menyifatkan Persekutuan Tanah Melayu sebagai satu kuasa pemerintahan baru manakala kedaulatan Raja-Raja Melayu dianggap hanya wujud pada teori dalam bidangkuasa kecil di peringkat negeri. Misalnya, Gould (1969, pp. 79-89) menyatakan:

The British satisfied the demands of the Malay nationalists by denying the Chinese equal citizenship. This solution permitted the union to be carried out in effect, though the name was changed to the Federation of Malaya. The form given to this new federation in 1948 still exists in the government of Malaya today. The states retained theoretical sovereignty and were given authority over relatively minor matters such as local government, health, land and agriculture. The federal government exercised the real power, for budget and finance were handled in Kuala Lumpur by the British High Commissioner. A legislative council was created, to which a majority of Malaysians was appointed.

Akibatnya, golongan yang berfikiran liberal atau masih menggunakan premis pemikiran Barat menjadikan pegangan kontrak sosial satu alasan untuk mempertikai kedudukan Islam sebagai undang-undang watan (law of the land), kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai bayangan Allah SWT di atas muka bumi (zullullah fil ardi), seterusnya hak istimewa orangorang Melayu dan status bahasa Melayu adalah suatu kedudukan yang diwarisi.

Kajian ini membuat analisis daripada sudut sejarah perundangan untuk menilai tahap penglibatan raja-raja dalam penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sehingga tahun 1957.

Kefahaman tentang penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu amat penting kerana ia berkait dengan punca kuasa yang memberi legitimasi pada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Ketentuan punca kuasa asal perundangan dapat menetapkan kaedah yang betul dalam pentafsiran peruntukan Perlembagaan Persekutuan pada hari ini.

Kajian ini seterusnya menghujahkan bahawa hansard perbicaraan semasa proses penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Laporan Suruhanjaya Reid, Kertas Putih Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan isu-isu yang dipopularkan selama ini hanya menunjukkan proses untuk memindahkan warisan kedaulatan Kesultanan Melayu dalam bentuk perlembagaan bertulis moden, yang telah mengambil kira aspek-aspek perlu untuk diangkat bagi persetujuan Raja-Raja Melayu dan Ratu England, sesuai dengan termaterma rujukan Suruhanjaya Reid.

Apabila membicarakan punca kuasa sesuatu undang-undang, sudah pasti pihak yang memberi kekuasaan undang-undang itu perlu diperiksa sama ada ia benar-benar mempunyai legitimasi.

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 ditandatangani oleh sembilan orang Raja-Raja Melayu yang merupakan penguasa pada sembilan buah negeri di Tanah Melayu dengan Kerajaan Ratu England. Justeru, amat wajar sekali sejarah Raja-Raja Melayu diperiksa.

Pembicaraan tentang sejarah raja pula tidak akan lengkap tanpa dianalisis sama kerajaannya kerana Persekutuan Tanah Melayu itu berdiri atas Kerajaan-Kerajaan Negeri Melayu tersebut.

Bagi maksud di atas, sejarah asal Tanah Melayu termasuklah punca kuasa dan bentuk perundangan yang pernah berkuatkuasa akan ditonjolkan berserta rujukan perjanjian-perjanjian, peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan kes-kes yang telah diputuskan untuk menyokong dapatan kajian ini.

Bersambung.

Facebook
Twitter
WhatsApp