TERKINI

Penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 (2)

Journal of Nusantara Studies 2017, Vol 2(1) 27-39 | Universiti Sultan Zainal Abidin
Raja-raja Dalam Penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 : Satu Kajian Sejarah Perundangan

Sejarah Ringkas Raja dan Perlembagaan Kerajaan Melayu

Gambar hiasan – foto prathiep27.blogspot

Raja-Raja Melayu yang menandatangani Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 merupakan waris-waris sah bagi Kesultanan Melayu.

Kesultanan Melayu adalah merujuk kerajaan yang mempunyai pertalian dengan Kesultanan Melayu Melaka sama ada daripada segi zuriat keturunan mahupun pernah menjadi negeri di bawah naungan atau jajahan takluk kerajaan tersebut.

Kajian ini berpendirian bahawa Kesultanan Melayu Melaka diasaskan pada sekitar tahun 1400 dan berlangsung sehingga mangkatnya Sultan Mahmud II (dikenali juga sebagai Sultan Mahmud Mangkat Dijulang) di Kota Tinggi, Johor pada tahun 1699.

Pendirian ini berlawanan dengan tanggapan popular yang menganggap Kesultanan tersebut berakhir pada tahun 1511 akibat daripada pencerobohan Portugis. Tanggapan popular itu tidak tepat kerana hanya Kota Melaka sahaja yang ditawan, Sultan Mahmud I berjaya membangunkan semula pusat pemerintahan baginda dengan sokongan negeri takluk dan lindungan yang masih setia dan anak cucu Raja Melayu Melaka meneruskan pemerintahan mereka di Johor sehingga mangkatnya Sultan Mahmud II (Wan Husain, 2013).

Dalam pada itu, warisan keturunan Kesultanan Melayu Melaka masih berkerajaan di negeri Perak sehingga hari ini.

Kesultanan Melayu Melaka adalah sebuah kerajaan yang berdaulat, mempunyai struktur pemerintahan tersusun, mengamalkan prinsip syura dan mempunyai hubungan antarabangsa dengan kerajan-kerajaan luar negara (Hashim, 2015; Abd Wahid, 1990). Ia mempunyai pertalian dengan Kerajaan Melayu Tua Melayu-Srivijaya di Palembang yang rajanya berasal dari Bukit Siguntang (Raja Haji Ahmad, 1998).

Apabila pengasas Kesultanan Melayu Melaka, Parameswara memeluk Islam, pemerintahan baginda diperkukuhkan dengan konsep dan tatacara yang diberikan oleh ajaran Islam bahawa seorang raja itu adalah bayangan Tuhan di atas muka bumi.

Konsep ini sekaligus menjadikan seseorang raja itu sebagai ketua agama Islam (Andaya & Andaya 1984).

Kedudukan seorang raja dalam Kesultanan Melayu Melaka sebagai bayangan Tuhan di atas muka bumi itu adalah berkait rapat dengan konsep khalifah atau khilafah Islamiyyah (Jusi, 1975).

Hukum Kanun Melaka adalah satu bukti kukuh bahawa Kesultanan Melayu Melaka sudahpun mempunyai perlembagaan bertulis, atau setidak-tidaknya undang-undang bertulis yang membuktikan pelaksanaan adat tempatan dan perundangan Islam (Bari, 2008; Liaw, 2003).

Sultan Muhammad Shah (1424-1444) dikatakan Raja Melaka pertama yang menginstitusikan Kanun Melaka. Kanun Melaka dimasyhurkan atas titah baginda dengan persetujuan para pembesar baginda dan ditambah daripada semasa ke semasa sehingga abad ke 19 Masehi (Stockwell, 1979; Liaw, 2003).

Untuk menilai status Hukum Kanun Melaka daripada sudut perundangan, rujukan boleh dibuat pada Mukadimah (preamble) Hukum Kanun Melaka selain daripada peruntukan yang terkandung di dalamnya. Sedutan daripada Mukadimah Hukum Kanun Melaka edisi Liaw (2003) adalah seperti berikut:

Amma ba’du, kemudian dari itu, ini suatu risalah pada menyatakan hukum kanun iaitu segala negeri yang besar-besar dan pada segala raja-raja yang besar-besar dan pada adatnya yang takluknya dan dusun supaya manfaat atas negeri dan raja dan menteri akan memeliharakan segala ra’yatnya…

Mukaddimah di atas menjelaskan tujuan Hukum Kanun Melaka iaitu untuk menyatakan undang-undang negeri bagi manfaat negeri, raja dan rakyat.

Hukum Kanun Melaka terdiri daripada pelbagai jenis bentuk undang-undang, iaitu perlembagaan, jenayah, tanah, perhambaan, kontrak, perwakilan, keluarga, laut dan Islam. Undang-undang Islam pula mengandungi hukum jual-beli, tatacara pengadilan, hukum Qisas dan hukum Jenayah Islam atau Hudud (Liaw, 2003).

Kelangsungan aktiviti perdagangan maritim bertaraf dunia sebagai kegiatan ekonomi utama Kesultanan Melayu Melaka secara terkawal melalui penguatkuasaan Undang-Undang Laut, bukan sahaja berpusat di pelabuhan Melaka, bahkan lain-lain pelabuhan sepanjang Laut Melayu tatacara pengurusan pelabuhan dan perdagangan yang efisien (Lopez, 2001). Selepas kemangkatan Sultan Mahmud II, Kesultanan Melayu Melaka mula terbubar.

Ekoran daripada itu, negeri-negeri Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu muncul sebagai Kerajaan-kerajaan Negeri Melayu yang bebas dan berdaulat walaupun mempunyai kaitan langsung dengan Kerajaan Johor Lama iaitu jurai Sultan Alauddin Riayat Shah III (Wan Husain, 2013).

Sebelum era penjajahan British secaramenyeluruh di Tanah Melayu, Kerajaan Johor Moden semasa pemerintahan Sultan Abu Bakar (1862-1895) pada 4 April 1895 telah memasyhurkan perlembagaan kerajaan tersebut yang dinamakan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor (UTKJ). Perlembagaan ini memuatkan lima bahagian dan 64 fasal (Md Lateh et al., 2014).

Pemasyhuran perlembagaan seterusnya dibuat oleh Kerajaan Melayu Terengganu melalui dokumen Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (UBDKT) pada tahun 1911.

Pemasyhuran UBDKT dilihat mempunyai kaitan dengan UTKJ disebabkan isi kandungan dan penyusunan mempunyai persamaan ketara (Md Lateh, 2017).

Akibat daripada campur tangan British di Tanah Melayu, maka lahirlah apa yang dikategorikan sebagai Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu (Unfederated Malay States), Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Federated Malay States) dan Negeri-negeri Selat (the Strait Settlements).

Status demikian tidak hadir begitu sahaja, ia timbul hasil daripada siri-siri perjanjian yang ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu dengan pihak British sejak 1894-1909 (Allen et al., 1981).

Pada 21 Januari 1948, sembilan buah Perjanjian Negeri telah ditandatangani antara Kerajaan British dan sembilan orang Raja-Raja Melayu; Negeri Sembilan ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Besar dan lima orang Pembesar Memerintah (Perjanjian Negeri 1948) (Allen et al., 1981).

Kesan daripada Perjanjian Negeri 1948 amat besar sekali. Ia mengesahkan kedaulatan Raja-Raja Melayu seperti mana ia wujud sebelum 1 Disember 1941 serta menghapuskan implikasi Perjanjian MacMichael dan penubuhan Malayan Union ke atas Negeri-Negeri dan Raja-Raja Melayu.

Justeru, kajian ini tidak mengulas implikasi Perjanjian Persekutuan 1948 dan Malayan Union atas kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Bersambung.

Facebook
Twitter
WhatsApp