TERKINI

Penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 (3)

Journal of Nusantara Studies 2017, Vol 2(1) 27-39 | Universiti Sultan Zainal Abidin
Raja-raja Dalam Penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 : Satu Kajian Sejarah Perundangan

Foto – The Patriots

Raja-raja Melayu

Negeri Persekutuan Tanah Melayu

Kajian ini juga perlu membicarakan Negeri-negeri yang menyertai Persekutuan Tanah Melayu. Hal ini penting kerana pihak yang terlibat dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1 Februari 1948 dan 1957 adalah raja-raja, penguasa bagi Negeri-negeri Tanah Melayu yang menyertainya (Bari, 2008).

Negeri yang menyertai Persekutuan Tanah Melayu 1948 terdiri daripada sembilan buah Negeri Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu. Negeri-negeri di Tanah Melayu ini mempunyai kedaulatan yang terpelihara malah diakui oleh Kerajaan British sebelum mereka bersekutu untuk membentuk Persekutuan Tanah Melayu.

Negeri-Negeri Melayu merupakan negeri di bawah Perlindungan British (Ian, 1998; Braddell, 1931). Kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua Kerajaan yang berdaulat dan berkuasa dikekalkan. Antara bukti yang menunjukkan kekuasaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu diiktiraf oleh British adalah kes-kes Mighell (1894) dan Duff Development Co. (1924).

Secara perundangannya, hubungan Kerajaan Great Britain dengan Negeri-negeri Melayu adalah diikat dengan siri-siri perjanjian antara dua entiti yang berdaulat.

Walaupun Sultan dikehendaki bertindak atas nasihat Residen, namun tugas asasi Residen adalah untuk memberikan nasihat, bukannya memerintah.

Wilayah Kedaulatan Kerajaan Negeri Melayu

Kerajaan British pada asasnya mengakui kuasa autonomi sesebuah Negeri Melayu mengikut takrifan yang diwartakan dalam The Federation of Malaya Order in Council bertarikh 26 Januari 1948. Takrifan ini juga turut dibuktikan melalui Perjanjian Persekutuan 1948 yang ditandatangani oleh sembilan orang Raja-raja Melayu.

Seterusnya, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bertarikh 5 Ogos 1957 yang turut ditandatangani oleh sembilan orang Raja-Raja Melayu dengan Ratu England melalui wakil baginda Sir Donald MacGillivray.

Melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, sesebuah negeri Melayu terus diakui mempunyai wilayah yang meliputi tanah, pulau dan suatu kawasan yang ditadbir sebagai sebahagian daripada negeri beserta wilayah perairan yang berhampiran dengan pantainya.

Raja-Raja Melayu berpegang bahawa kawalan atas tanah dalam wilayah negeri baginda masing-masing adalah sebahagian daripada manifestasi kedaulatan (‘territorial sovereignty’) (C.O 889/8, 1956, p. 36).

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 telah menginstitusikan Persekutuan Tanah Melayu. Malaysia adalah nama bagi Persekutuan apabila Persekutuan Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sabah dan Sarawak pada 13 September 1963. Tanpa Sabah dan Sarawak, negara ini akan kembali sebagai Persekutuan Tanah Melayu.

Wilayah-wilayah bagi setiap negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu adalah wilayah-wilayah yang termasuk di dalam negeri-negeri itu sebelum Hari Malaysia, kecuali wilayah-wilayah yang telah diserahkan oleh negeri Selangor dan Sabah kepada Kerajaan Persekutuan

Bersambung.

Facebook
Twitter
WhatsApp