TERKINI

Penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 (5)

Journal of Nusantara Studies 2017, Vol 2(1) 27-39 | Universiti Sultan Zainal Abidin
Raja-raja Dalam Penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 : Satu Kajian Sejarah Perundangan

Persidangan Pertama Majlis Raja-Raja Melayu – foto pekhabar.com

Kuasa Kerajaan Persekutuan dan Negeri

Perlu ditegaskan lagi di sini bahawa kuasa yang ada pada Kerajaan Persekutuan pada masa kini asalnya adalah apa yang dipersetujui atau/dan didelegasikan oleh Kerajaan Negeri melalui peruntukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 yang diawali Perjanjian Persekutuan 1948 dan pindaan yang dibuat ke atas semua Perlembagaan Negeri (C.O 889/8).

Satu perkara yang perlu difahami, walau apapun alasan lain yang diberikan kepada atau bagi penubuhan Persekutuan Tanah Melayu yang kemudiannya menjadi Malaysia, ia diinstitusikan oleh dan dengan kuasa Negeri-negeri atau kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Kuasa-kuasa yang terletak pada Yang di-Pertuan Agong (dan fungsi-fungsi eksekutif yang boleh dilaksanakan oleh mereka yang diberi kuasa melalui undang-undang) (Perlembagaan Persekutuan 1957) dan hasil-hasil yang boleh dikutip oleh Kerajaan Persekutuan adalah daripada apa yang diserah atau/dan didelegasi oleh Raja-Raja Melayu atas syarat-syarat asal yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Justeru, dilihat bahawa kedaulatan Raja-Raja Melayu terus terpelihara dan dipasak dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 181.

Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama yang boleh dilaksanakan atau dikuatkuasakan oleh Kerajaan Persekutuan sewajarnya dilihat sebagai balasan dalam bentuk perkhidmatanperkhidmatan dan kewajipan-kewajipan yang perlu ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Negeri-negeri atas penyerahan atau delegasi kuasa-kuasa dan hak-hak Negeri kepada Persekutuan.

Fasal (1) Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan berbunyi,

Dengan tidak menyentuh apa-apa kuasa yang diberi kepada Parlimen untuk membuat undang-undang oleh mana-mana perkara lain, Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai mana-mana perkara yang disebutkan dalam Senarai Persekutuan atau Senarai Bersama (iaitu, Senarai Pertama atau Ketiga yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan).

Atas posisi di atas, prinsip pelaksanaan kuasa-kuasa yang dimiliki oleh Kerajaan Persekutuan hendaklah pada setiap masa menjaga hak-hak semua Kerajaan Negeri dan kebajikan rakyat negeri dengan adil selaras dengan peruntukan Perkara 70 Perlembagaan Persekutuan yang membuat penetapan persekutuan menjaga undang-undang negeri.

Justeru, disyaratkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengikrarkan Sumpah Berjawatan seperti dalam Jadual 4 di bawah Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan sebelum merlaksanakan amanah pemerintahan, ditubuhkan Majlis Raja-Raja pada peringkat Persekutuan juga wakil-wakil Negeri dalam Dewan Negara untuk memantau hak-hak Negeri.

Bahkan diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan, perkara 38(4) bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran raja-raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Bersambung

Facebook
Twitter
WhatsApp