TERKINI

Sejarah Setapak: Dari Sawah Sutan Puasa ke Kampung Air Panas, Kini Menjadi Kota

Kawasan Setapak, yang hari ini terkenal sebagai salah satu kawasan pesat membangun di Kuala Lumpur, memiliki sejarah panjang yang sarat dengan warisan komuniti Melayu tradisional.

Di tengah-tengahnya terletak Kampung Air Panas, sebuah penempatan yang namanya diabadikan daripada kolam air panas semula jadi yang pernah menjadi pusat kehidupan masyarakat setempat.

Asal Usul Nama dan Penempatan Awal

Perkataan Setapak dipercayai berasal daripada istilah Melayu tapak atau langkah. Catatan kolonial menyebutkan pada tahun 1884, seorang ketua orang asli bernama “Batu Tapak” telah dilantik semula oleh Residen British, Frank Swettenham, dan dari situlah nama Setapak mungkin tercetus.

Sebelum itu, kawasan ini sudah pun dikenali sebagai tanah sawah yang dibangunkan oleh Sutan Puasa, seorang pedagang Mandailing yang berpengaruh di Selangor pada abad ke-19.

Kawasan sawah ini dikatakan terletak di lembangan Sungai Gombak dan kawasan rendah sekitar Kampung Air Panas, Danau Kota, hingga ke Jalan Gombak. Hari ini ia dikatakan berada diantara kawasan Danau Kota, Wangsa Maju, Kampung Air Panas hingga ke sekitar UIA Gombak iaitu Taman Melati – Taman Setapak Jaya, yang pada asalnya merupakan tanah pertanian Melayu.

Sutan Puasa membina tali air untuk sawah padi dan membenarkan orang ramai bertani di situ dengan syarat sebahagian hasil 10 gantang daripada setiap 100 gantang padi diserahkan sebagai upah kepadanya.

Kolam Air Panas: Pusat Kehidupan Komuniti

Nama Air Panas diabadikan daripada kewujudan kolam air panas semula jadi yang menjadi nadi kehidupan harian penduduk.

Pada dekad 1960-an hingga 1970-an, kolam ini bukan sahaja berfungsi sebagai tempat mandi, tetapi juga sebagai lokasi mencuci pakaian. Penduduk menggunakan ‘timba’ untuk mengambil air, dengan bayaran hanya 10 sen setiap kali.

Selain peranan praktikal, air sulfur dari kolam tersebut dipercayai memiliki khasiat perubatan dikatakan mampu menyembuhkan penyakit kulit dan melegakan reumatisme.

Kolam ini sekaligus menjadi pusat sosial, tempat orang kampung berkumpul dan berinteraksi. Namun, dengan kemunculan kemudahan moden seperti sauna dan pembangunan pesat sekitar Kuala Lumpur, kolam air panas ini semakin dilupakan dan akhirnya hilang dari peta kehidupan bandar.

Infrastruktur dan Pendidikan

Setapak mula terhubung dengan pembangunan bandar lebih luas apabila jejambat dibina di kawasan ini pada tahun 1883. Ia mengukuhkan peranan Setapak sebagai laluan strategik bagi masyarakat sekitar.

Kemudian, lahirlah institusi pendidikan penting seperti Sekolah Kebangsaan Jalan Air Panas yang dibuka pada tahun 1972.

Sekolah ini menjadi tonggak pendidikan komuniti dan berkembang dengan penambahan blok-blok baharu, pusat sumber, klinik pergigian, dan makmal komputer sepanjang dekad 1980-an hingga 2000-an. Pada pertengahan 1990-an, sekolah ini bahkan pernah disenaraikan sebagai antara 10 sekolah terbaik UPSR di Kuala Lumpur.

Warisan dan Kepentingan Budaya

Sejarah Setapak dan Kampung Air Panas melambangkan peralihan gaya hidup masyarakat Melayu dari era agraria kepada zaman moden.

Dari sawah yang diusahakan oleh Sutan Puasa, ke kolam air panas yang menjadi pusat komuniti, hingga pembangunan sekolah serta perumahan moden kawasan ini adalah cerminan perubahan Kuala Lumpur sendiri.

Walaupun kolam air panas hanya tinggal kenangan, nama “Air Panas” terus hidup sebagai warisan identiti, mengingatkan warga kota bahawa di balik bangunan konkrit dan jalan raya sibuk, pernah wujud sebuah komuniti kampung yang erat hubungannya dengan alam dan tradisi. – arkibmalayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp