TERKINI

ABY : Perjuangan Mencantumkan Kembali Orang Melayu

Dikalangan orang politik, siapa tidak kenal akan sosok bernama Abu Bakar Yahya atau lebih mesra disapa sebagai ABY. Beliau adalah bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Malaysia ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum ini, beliau pernah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Negeri Selangor pada tahun 2012. Selepas empat tahun, beliau menyertai parti BERSATU dan telah dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti tersebut.

Malayadaily berpeluang menemuramah beliau untuk mendapatkan gambaran mengenai perjuangan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau antara individu yang dilihat dekat dengan bekas perdana menteri ketika ini, menceritakan pandangan beliau seputar perjuangannya bersama Tun Mahathir.

Abu Bakar Yahya – foto malayadaily.com

MD.com : Selain menyanjungi Tun M sebagai negarawan, kenapa abang terus bersama dengan perjuangan Tun?

ABY : Waktu kita diberi Allah dengan kuasa tenaga, keupayaan, gunakan sedikit masa kita untuk membela nasib masa depan bangsa kita, agama kita dan menyelamatkan masa depan negara kita.

Salahkah? orang nak kata, itu apa terpulang. Ya, memang kita tahu, kalau berdepan dengan bangsa lain kita senang nak jawab. You jaga bangsa you, saya jaga bangsa saya, ok?

Tapi kalau bangsa kita sendiri, bangsa Melayu sendiri pertikaikan “apa ni, nak perpaduan apa semua, nak proklamasi apa guna”, cakap dengan dia paling senang, kalau tak nak, tak apalah, mungkin kau belum dapat hidayah lagi. Tak apa, aku pergi cari orang yang boleh mendapat hidayah, macam tu.

Saya tak takut (menjawab) tentangan ‘Proklamasi Orang Melayu’ ni dengan bangsa lain, tapi saya sikit terkilan bila bertembung dengan orang Melayu.

Sedangkan kita nak buat ni untuk bangsa Melayu, yang menentang kita bangsa Melayu. Yang ini yang kita… (henti bercakap)

Tapi jangan risau, untuk menjayakan sesuatu yang baik itu bukan satu perkara yang mudah. Dia mesti berdepan dengan segala dugaan halangan, betul tak?

Tapi kalau kita boleh rempuh, kalau kita boleh rentas dugaan dan halangan ini, kita berjaya. Orang nak puji tak puji tak apa, itu hak dia. betul tak? Allah yang tahu.

MD.com : Proklamasi ni kata nak satukan Melayu, nak buat apa bersatu lagi?

ABY : Kita kena cantumkan balik orang Melayu ni, tak kira apa parti sekalipun, PKR ke, UMNO ke, PAS ke, Amanah ke apa semua parti asalkan Melayu kita bergabung atas Proklamasi Orang Melayu, tunjukkan kepada kepimpinan negara, orang Melayu sudah bersatu. “Kau jangan pandai-pandai nak ubah perlembagaan, jangan pandai-pandai segala undang-undang, dan jangan kau ambil hak orang Melayu.”

Kita tak marah, kita tidak benci kepada bangsa lain. Mereka juga makhluk Allah yang dipanggil manusia, kita tak boleh benci mereka.

Tetapi dah termaktub dalam perlembagaan sebuah negara yang merdeka hak Melayu ada keistimewaan dia, jadi tolong jangan ambil.

Dalam perkara 152, 153 termaktub sudah, jangan kacau. Sekarang yang kita lihat, mereka perlahan-lahan mengambil hak kita kerana apa? Kerana tengok kita berpecah.

Oleh yang demikian kita bersatu balik, kita jaga hak kita dalam negara kita untuk bangsa kita.

MD.com : Orang kata Proklamasi ini untuk politik Tun Mahathir saja.

ABY : Itu bagi fahaman masing-masing, orang ada macam-macam idea. Kadang-kadang taksub pada parti, dia takut parti dia runtuh (dengan) segala apa yang Tun buat ni, dia kata untuk parti Tunlah, untuk kepentingan Tunlah.

Tetapi niat sebenarnya yang saya tahu, saya bermesyuarat selalu dengan dia (Tun), saya berdepan dengan dia, inilah masa untuk kita cantumkan balik Melayu yang sudah berpecah melalui parti-parti.

Sekarang ni kita lupakan parti, kita bersatu atas bangsa Melayu. Kalau orang nak cakap, macam-macamlah.

Kadang-kadang mereka ni kurang ilmu, kadang-kadang mengata Tun bukan-bukan, kadang-kadang mereka ni dengar cakap orang saja. Dia tak dekat dengan Tun pun dan dia tak tahu agenda perjuangan Tun.

Orang kita ni, dia suka macam dia (nak) tunjukkan dia hebat, dia tahu semua padahal cerita tu bohong pun, cerita tu dapat daripada orang, bukan dia dapat tahu (terus).

Sepatutnya kita ni, kalau bukan yang kita tahu, kita jangan cakap. Kalau kita tahu daripada orang lain, cerita yang samar-samar, jangan cakap. (Jika cakap) Mungkin kita akan jadi seorang yang penabur fitnah.

Jadi kalau mereka kata apa yang Tun buat ni demi untuk kepentingan Tun, ingat sikitlah, Tun ni umur dah berapa? 98 tahun, untuk kepentingan apa?

Kalau kata dia gila kuasa, dia jadi PM ke-4 dulu kenapa dia letak jawatan? Orang kalau gila kuasa dia tak letak jawatan.

Begitu juga dengan PM-7. Kalau dia gila kuasa, dia tak letak jawatan. Tetapi ada kepincangan-kepincangan yang berlaku dalam parti yang dia pimpin, maka dia terpaksa lepas (jawatan).

Ada yang kata kenapa Tun lepaskan (jawatan PM)?

Dah parti Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan, dan beberapa pemimpin PKR juga dah keluar daripada Pakatan Harapan, dah tak cukup majoriti.

Parti tu dah tak cukup kerusi dalam parlimen, jadi terpaksa lepas jawatanlah. Jangan nak salahkan Tun kenapa letak jawatan.

Tanya dengan Muhyiddin Yassin kenapa dia nak keluar daripada Pakatan Harapan, tanya dengan Azmin Ali, kenapa dia bawa lebih daripada 11 ahli Parlimen keluar daripada PH.

Jadi kalau tuduhan kepada Tun ni, tak payah cakap banyaklah you tak kenal Tun pun. Kalau setakat dengar cerita orang, tak payah ceritalah.

Tun buat segala-galanya demi untuk kepentingan bangsa dia dan tanah air dia. Automatik bila dia perjuangan bangsa Melayu, dia memperjuangkan agama Islam.

MD.com : Tun dari dulu sebut dan perjuangkan agenda Melayu. Tak habis lagi ke cerita perjuangan Melayu ni?

ABY : Pada saya takkan habis selagi Melayu tidak berkuasa dalam negara ni. Dulu memang betul Melayu berkuasa, tetapi (kini) hak orang Melayu hilang, kerana apa?

Kerana pemimpin-pemimpin Melayu gila kuasa, gila nak jadi kaya, gila dengan kemewahan, akhirnya hak orang Melayu terhakis.

Kalau orang kata tak habis-habis pasal Melayu ni, memanglah!

Selagi Melayu tak dapat (hidup) selesa, kita akan berjuang terus untuk bangsa kita.

Selagi hayat tengah ada, macam Tun Mahathir kata, selagi dia ada kudrat, selagi dia ada ilmu pengetahuan, selagi dia ada keupayaan dia tidak akan berhenti untuk memperjuangkan nasib masa depan bangsa dan mempertahankan tanah air dia.

Maksud dia, biar sampai penghujung hayat dia tetap berjuang. Tapi kalau semua keadaan dah selesa. Dia takkan, lebih baik dia relaks.

Tun ini adalah seorang yang tidak boleh duduk diam dalam soal perjuangan, memang daripada mula.

Kalau soal kata “Tun baru nak berjuang Melayu sekarang ni, masa ada kuasa dulu tak nak cakap pasal Melayu, sekarang baru nak pasal Melayu.”

Tun bercakap pasal Melayu dah berpuluh tahun dulu dah.

Sejak terbitnya buku ‘The Malay Dilemma’, di situlah Tun bercakap pasal orang Melayu. Tetapi apa nak buat, bila masa dia jadi PM yang ke-4, 22 tahun, dia dah pimpin bagus dah negara dah maju ke hadapan tapi nak buat macam mana, menteri-menteri yang diharapkan, pemimpin-pemimpin yang diharapkan, tidak melakukan seperti apa yang dia lakukan.

Dia sebagai PM masa tu, takkan dia nak tengok sampai ke bawah. Itu (kerja) dah dilepaskan tanggungjawab kepada menteri-menteri, pegawai-pegawai daerah, ini kalau kita bercakap soal kehilangan tanah rizab Melayu, apa peranan pegawai daerah?

Pegawai daerah kebanyakkannya Melayu, boleh kata majoritnya Melayu. Wakil rakyat kawasan, banyak Melayu, Menteri Besar Melayu.

Macam mana tanah rizab Melayu boleh terlepas kalau bukan dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Melayu.

Maknanya, pengkhianatan berlaku daripada pemimpin Melayu. Jadi kita kena sedarkan, kita gunakan gelombang Proklamasi Orang Melayu ini daripada peringkat bawah naik atas memperingatkan kepada pemimpin-pemimpin di atas khususnya orang Melayu, kerana tidak jujurnya kamu sebagai pemimpin akhirnya hak orang Melayu terhakis.

MD.com : Abang dah lama ikut Tun, bagaimana abang lihat sikap Tun pada kerja?

ABY : Saya melihat Tun ni kelebihan yang Allah beri pada dialah. Kalau dia menyusun kerja tu, takkan gagal. Kalau dia tinggalkan tu, maknanya ada sebab dia tinggalkan, kalau dia teruskan, ada sebab dia teruskan.

Tun ni dia fokus, lagi satu dia ni rajin membaca. Bukan sekadar membaca buku.

Tun ni, Quran tu dibacanya, tafsirannya dia tahu (baca). Tapi dia tak suka menunjuk-nunjuklah. Sebab dalam pejabat dia saya tengok Quran tu dia baca, ada perenggan-perenggan dia ada tanda tempat dia berhenti (baca).

Dia rajin membaca dan ilmu dia pada saya, memori dia cukup bagus.

Mungkin Tun ni boleh buat kerja dengan bagus sebab apa? Sebab dia jaga pemakanan dia, dia jaga tidur dia. Waktu tidur, dia tidur, dia ikut sunnah nabi, sebelum zuhur dia tidur sekejap. Dapat 20 minit lepas tu dia bangun dia segar, dia buat kerja balik.

Bagi saya, kita rebutlah peluang sementara Allah beri umur yang panjang kepada dia, kesihatan yang baik.

Sebenarnya keistimewaan itu bukan kepada Tun, tetapi keistimewaan itu adalah untuk kita orang Melayu dan Islam dalam Malaysia.

Allah panjangkan umur dia, Tuhan bagi keistimewaan pada manusia ni (Tun), kenapa yang lain tak nak menghargai, sedangkan dunia luar boleh gunakan dia, nak dengar cakap (pandangan) dia. Kenapa kita rakyat Malaysia (tak begitu)?

Bukti pun dah ada, selama 22 tahun dia memerintah, negara yang dianggap mundur menjadi satu negara yang membangun dengan pesat.

Satu idea Tun saya tengok, ini saya punya pandangan, dia buat menara yang tertinggi di dunia, berkembar lagi tu.

Satu dunia tahu di Malaysia ada satu bangunan yang tertingi di dunia masa itu.

Tun dah fikir, penduduk dunia nak datang tengok, (mereka) mesti naik flight, takkan naik kapal kan, maka dia buat KLIA, kemudian dia besarkan lebuhraya.

Turun saja lapangan terbang, pelancung ni ke dalam kereta dan akan lalu lebuhraya.

Sampai KLIA saja mereka dah kata very big. Mereka tak imagine Kuala Lumpur macam tu punya lapangan terbang.

Lalu lebuhraya pun pelancung terkejut (tengok).

Akhirnya dia sampai juga ke KLCC, sampai KLCC dia terpaksa mendongak tengok (KLCC).

Jadi, sejarah dengan realiti, tetapi sudah berubah. Sejarah tetap ada, tapi dah berubah. Malaysia sudah maju, rakyatnya sudah moden.

Jadi itulah pengorbanan Tun selama 22 tahun menjadi PM, dia membangunkan negara ni, cukup pesat.

Yang kedua, masa itu kita tengok ibu negara Malaysia Kuala Lumpur. Bunyi (lumpur) pun tak sedap.

Tun buat satu pertukaran, dia ubah bandar pentadbiran kerajaan, ke Putrajaya. Juruteranya Melayu, Tun bangunkan dengan kemas.

Awak tengok, pengorbanan dan idea yang Allah beri kepada dia, macam mana dia buat (bangunkan).

Sejak itu pelabur banyak masuk, ekonomi berkembang hingga Malaysia digelar Harimau Asia. Bukan asia tenggara, tetapi asia.

Tapi kalau awak nak cerita Tun ini merosakkan pentadbiran negara, menyamun harta negara, ada (simpan) wang di luar negara.

Eh, dah 20 tahun lebih engkau bercakap benda ni kepada Tun, sampai sekarang tak ada bukti pun. Sehingga Anwar Ibrahim jadi PM masih lagi hentam Tun.

Eh, takkan tak ada bukti, 20 tahun lebih kau menghentam siang malam pagi petang atas jalan raya, kata Tun penyamun penyangak apa semua. Bagilah bukti.

Kita tengok semua benda ni, kesian rakyat Malaysia tertipu, daripada atas sampai ke bawah, pemimpin ke apa ke, semua tertipu.

Abu Bakar Yahya – Bekas Setpol PM-7 – foto Aby

MD.com : Orang marah sebab Tun kata Melayu malas. Macam mana tu?

ABY : Bila Tun kata Melayu malas, (mereka) marah. Terbukti sudah orang Melayu ni malas kat mana?

Bila nak keluar mengundi. (Yang lalu PRU15) berapa peratus orang Melayu keluar mengundi? 60 lebih peratus saja. Bangsa lain, lebih 90 peratus keluar mengundi.

Inilah salah satu yang Tun maksudkan, malas.

(Satu lagi) bila dapat projek, beri pada orang lain, malaslah tu.

Kau dapat jual projek, kau dapat komisen, kau enjoy pergi London beli kereta mahal-mahal, engkau seorang saja dapat.

Bangsa lain dapat projek, siapa dapat? sedara mara dia semua dapat kerja, mereka kongsi sama mereka. Ekonomi dia berjaya.

Kenapa orang Melayu tak buat (begitu)? sebab malas.

Bila aku cerita macam ni, orang terjegil (marah), tapi memang betul.

Berapa banyak tan sri-tan sri, datuk seri-datuk seri yang dapat, semua jual projek. Itu sebab mereka ada rumah, ada ladang di luar negara. Mereka mewah seorang diri.

Cuba kalau mereka buat sendiri, berapa banyak bangsa dia boleh berkongsi, bercambah ekonomi orang Melayu.

Orang Melayu ni satu ada sifat saya perhatikan, kalau boleh kaya, dia seorang nak kaya, dia takkan bagi orang lain bersaing. Kalau ada orang yang naik, dia boleh bunuh lagi. Macam mana Melayu nak naik?

Oleh yang demikian, Proklamasi Orang Melayu ni kita harap cantumkan Melayu ni balik, dekat situ kita ajak Melayu ni hakis perasaan cemburu, hakis perasaan tamak, buang perasaan-perasaan yang suka menfitnah ini, kita bina cara baru.

Cara apa? Cara apa yang Islam arahkan, kembali kepada agama Islam, ikut cara Islam.

You cari kekayaan besar macam mana pun, bukan you boleh bawa mati pun. Islam dah arah, carilah rezeki, tapi kongsi dengan yang lain.

Kalau orang Islam yang kaya-kaya ni betul buat begitu, orang Islam tak ada susah dalam negara ni.

MD.com : Kalau Melayu yang kuasai ekonomi negara ni, habis nasib bangsa lain macam mana? Mereka takut mereka dipinggirkan.

ABY : No..No..No… Kita tak ambil semua. Kan (sistem) pengagihan kuota kita ada. Kita rakyat majoriti, kita bukan rakyat minoriti.

Kalau mereka nak jealous (cemburu), nak jealous apa? Kita beri peluang dengan you, dah berpuluh tahun you duduk dalam negara ni, you jadi businessman (ahli perniagaan), jadi billionaire kerana apa? Kerana kebaikan orang Melayu.

Kami bukan nak tolak kamu, tidak. Kami nak buat cara pembangunan kami. Macam mana kamu buat, kami nak buat macam tu.

Kau pergi negara lain, kau dapat macam ni di Malaysia? Tak adalah.

Bangsa lain tak perlu cemburu, kami orang Melayu mengamalkan agama Islam, dalam Islam tidak pernah mengajar kita menganiaya bangsa lain.

MD.com : Tandatangan Proklamasi ni, bila dah dapat, nak buat apa?

ABY : Tak payah banyak tanya, ini (proklamasi) pengorbanan. Bukan kita minta jual tanah pun, bukan kita minta sepuluh ringgit, sekadar tandatangan itu saja.

Kita serahkan kepada Tun Mahathir, dia tahu dia buat tu ada sebab. Serah pada dia.

Bagi saya kita nak tunjukkan kepada pentadbiran negara, kami sudah dapat tandatangan orang-orang Melayu, kena ingat mereka tandatangan kerana ada 12 perkara yang termaktub dalam Proklamasi Orang Melayu.

Kalau ditanya untuk apa Proklamasi ini? Inilah, untuk ini (tujuannya).

– malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp