TERKINI

Identiti Malaysia Dan Cabarannya – Bah. 1

Ku Seman Ku Hussain, mantan pengarang kanan Utusan Malaysia yang mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam dunia kewartawanan. Beliau ada menghasilkan buku yang bercorak kritikan mengenai isu semasa dalam sosiopolitik. Ku Seman aktif dalam menulis dan mengkritik hal ehwal berkaitan seni dan kebudayaan. Ikuti temubual siri kedua bersama beliau dalam isu berkaitan identiti dan kebudayaan Malaysia.

foto utusan malaysia

MD.com : Kita ada Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 (Dkk1971) dan kini kita ada Dasar Kebudayaan Negara (Daken2021). Adakah Daken2021 berbeza dengan Dkk1971)?

Ku Seman : Ya benar, memang banyak perbezaan antara DKK 1971 dengan DAKEN 2021. Saya fikir perbezaan ini disebabkan perubahan sosiobudaya dan politik yang berlaku ketika dasar berkenaan digubal. Keadaan sosiobudaya dan politik sangat mempengaruhi kewujudan DKK 1971. Sebagai sebuah negara yang pada relatifnya baharu, 14 tahun selepas mencapai kemerdekaan, sudah tentu kefahaman rakyat pelbagai kaum terhadap kebudayaan kurang mantap dan dasar itu bertujuan memantapkan kefahaman tersebut.

DKK 1971  lahir daripada Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang berlangsung pada 16 Oktober 1971 di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya. Kongres itu adalah inisiatif Perdana Menteri Tun Razak Hussein. Beliau melihat ada kelompangan dalam kefahaman budaya dalam negara yang relatifnya baru merdeka.

Kelompangan dalam kefahaman budaya dibuktikan antaranya dengan tercetus tragedi rusuhan kaum yang berdarah pada 13 Mei 1969. Ini adalah  konflik kaum yang paling besar dalam sejarah negara selepas merdeka. Dua tahun selepas tragedi 13 Mei, Tun Razak mencetuskan idea supaya hal-hal berkaitan budaya diberi perhatian khusus. Maka dianjurkan kongres kebudayaan bertaraf kebangsaan. 

DKK 1971 itu bagi saya adalah satu acuan hidup bernegara, berbangsa dan berbudaya. Kaum-kaum yang tinggal di negara ini perlu faham adat bernegara, berbudaya dan hidup berbangsa.

Sementara DAKEN 2021 pula cuba bertolak daripada kerangka DKK 1971 yang diberikan banyak penambahan. Saya melihat dasar kebudayaan yang baharu itu terlalu toleran dan kesannya mungkin teras seperti budaya Melayu tidak ditekankan. Kebudayaan yang bertentangan dengan Islam juga diiktiraf sebagai kebudayaan kebangsaan dengan syarat ada nilai-nilai murni.

Perubahan landskap politik memainkan peranan dalam pembentukkan DAKEN 2021 iaitu selepas Pilihan Raya Umum (PRU 14) pada 2018.  Secara peribadi saya melihat DKK 1971 lebih padat dan garis panduannya membawa pada matlamat yang jelas. Misalnya definisi kebudayaan kebangsaan adalah yang berteraskan budaya Melayu dan tidak bertentangan dengan Islam. Akan tetapi dasar yang baharu menekankan teras budaya Melayu dan nilai-nilai murni sejagat daripada kebudayaan kaum lain.

MD.com : Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang terhasil daripada Kongres Kebudayaan ketika zaman Tun Razak, belum pernah dibawa dan dibentang kepada Kabinet. Dan pada 2021, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah melancarkan Dasar Kebudayaan Negara (Daken2021). Juga tidak pernah dibawa dan dibincangkan di peringkat Kabinet. Apa komen sdr.

Ku Seman : Daripada yang saya faham,  DKK 1971 tidak pernah dibawa ke kabinet untuk secara rasmi diangkat sebagai satu dasar. Dasar yang dirujuk pada ketetapan kongres kebudayaan dan adalah suatu yang tidak rasmi. Akan tetapi dianggap satu dasar yang rasmi untuk merujuk hal ehwal kebudayaan Melayu dam perbagai kaum.

Di peringkat awal dulu DKK 1971 memainkan peranan penting dalam memberi kefahaman tentang apa itu kebudayaan kebangsaan. Iaitu yang berteraskan budaya Melayu dan juga budaya kaum-kaum lain yang tidak bertentangan dengan Islam. Misalnya budaya masyarakat Cina, India dan etnik dari Sabah dan Sarawak dianggap kebudayaan kebangsaan selagi tidak bercanggah dengan Islam.

Saya fikir definisi kebudayaan kebangsaan itu juga perlu diperjelaskan.  Maknanya  kebudayaan yang tidak termasuk dalam kebudayaan kebangsaan bukan dilarang atau diharamkan dari diamalkan oleh kaum-kaum berkenaan. Malah ada juga budaya Melayu tidak diangkat sebagai kebudayaan kebangsaan kerana bertentangan dengan Islam. Budaya yang sedemikian boleh diamalkan dengan bebasnya, akan tetapi tidak boleh dalam sesuatu situasi yang rasmi.

Setahu saya DAKEN 2021 juga belum dibentangkan kepada Kabinet. Sudah beberapa kali bertukar Menteri yang mengawal selia hal ehwal kebudayaan dilantik dan diganti, dasar baharu itu masih lagi terperap.  Saya fikir hal yang seperti ini tidak boleh dilengah-lengahkan kerana bimbang menjadi seperti DKK 1971. Sudah banyak masa dan tenaga dihabiskan untuk menyiapkan deraf dan menggubal DAKEN 2021. Telah banyak dalam kalangan pakar dan ahli dalam kebudayaan menyumbang pandangan dan fikiran.

Suatu yang menarik daripada DAKEN 2021 adalah menekan tentang budaya nilai tinggi sebagai satu batu asas penting kebudayaan kebangsaan. Budaya nilai tinggi itu secara mudahnya adalah yang menjunjung intergriti,  menghargai suatu yang bersifat ilmu serta nilai-nilai sivik yang tinggi. Ini bersesuaian dengan keadaan dalam negara yang diporak perandakan oleh sikap tidak ada integriti misalnya gejala rasuah.

Bersambung

Facebook
Twitter
WhatsApp