Datuk Dr Abdul Halim Bin Sher Jung. Berumur 52 tahun, berasal daripada Alor Setar Kedah. Beliau seorang pengamal perubatan dan kini menjadi usahawan yang memiliki rangkaian klinik. Memiliki Ijazah Perubatan dan Bachelor of Surgery (MBBS) University of Punjab, Pakistan.
MD.com : Dalam konteks kesihatan awam, apakah isu utama pada hari ini dan masa depan? Boleh Dr jelaskan bagaimana rakyat bersedia dengan cabaran mengurus isu kesihatan dalam aspek kos, pencegahan dan rawatan?
Datuk Dr Halim : Populasi rakyat Malaysia terdiri daripada lebih kurang 30 juta orang dan sebanyak 6.4 juta org daripada jumlah tersebut mengalami penyakit darah tinggi sehingga hari ini. Ini bermakna, setiap 10 orang kita berjumpa, 3 daripada mereka menghidap penyakit darah tinggi.
Selain itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah meletakkan Malaysia di tangga ke-10 dunia dengan jumlah seramai 3.9 juta orang penghidap penyakit kencing manis di negara kita ini.
Terdapat terlampau banyak lagi statistik penyakit lain yang saya boleh bentangkan tetapi ianya terlampau banyak dan lebih dari cukup untuk membuatkan negara kita sedar daripada gelombang penyakit penyakit berbahaya ini.
Malah, lebih menyedihkan lagi tiada langkah drastik oleh pihak yang tertentu untuk menyedarkan rakyat bahawa kita dalam bahaya. Hal ini perlu diberi perhatian dan tidak dipandang enteng oleh setiap individu, kalau bukan diri kita sendiri, lihatlah ahli keluarga kita atau rakan rakan kita yang hampir menjerumus kearah penyakit penyakit ini sebelum nasi menjadi bubur.
Selain itu, kita juga berdepan dengan cabaran harga ubat yang kian meningkat. Dengan adanya inisiatif daripada pihak kerajaan, harga ubat-ubatan di negara kita dapat dikawal seterusnya meningkatkan sektor kesihatan di negara kita.
Sebelum lebih mendalam, lebih baik kita mengenal rapat musuh kita dahulu. Setelah saya mengkaji dan meneliti penyakit penyakit tersebut, saya dapati penyakit penyakit tersebut terdiri daripada penyakit penyakit Noncommunicatable disease (NCDs) iaitu penyakit tidak berjangkit tetapi terjadi disesbabkan oleh genetic, gaya hidup yang tidak sihat dan sebagainya.
Melihat semula kepada statistik dibentangkan dan bilangan pesakit yang hadir disebabkan oleh penyakit penyakit tersebut untuk mendapatkan rawatan, sudah terang lagi bersuluh yang rakyat kita pada hari ini belum bersedia menghadapi masaalah kesihatan yang telah disebutkan dan perlukan bantuan daripada setiap pihak yang bertanggungjawab.
MD.com : Sebagai pemilik klinik dan pengamal perubatan, bagaimana perkhidmatan swasta boleh membantu rakyat biasa khususnya kumpulan B40 dan M40 untuk mengurus isu kesihatan ini?
Datuk Dr Halim : Terdapat lebih kurang 7000 buah klinik “general practitioner” (GP) di negara kita pada hari ini, malah untuk mendapat rawatan kerajaan, rakyat perlu beratur dan menghabiskan masa seharian di hospital kerajaan atau pusat kesihatan.
Cadangan saya adalah, kerajaan boleh memberi klinik-klinik ini, kalau bukan semua mungkin sesetengah daripada mereka untuk menerima pesakit .
Dengan ini, mereka tidak perlu beratur dan menghabiskan masa di hospital kerajaan. Sebagai contoh, penyakit penyakit tidak kronik seperti demam, selsema dan batuk, rakyat boleh mendapat rawatan di klinik -klinik swasta tertentu tetapi ditanggung oleh kerajaan dengan pengenalan surat gerenti kerajaan.
Jika kita melihat dari perspektif tertier, pesakit yang pergi ke hospital kerajaan juga perlu ditanggung kos rawatannya oleh kerajaan. Sekiranya kerajaan membantu mereka dengan pengenalan surat gerenti ini, para pesakit B40 dan M40 juga mampu menikmati rawatan di klinik-klinik swasta.
Dengan ini, hospital kerajaan juga sekali gus boleh lebih menumpukan perhatian kepada penyakit penyakit yang kronik dan lebih efisien. Hal ini juga dapat memudahkan para pesakit untuk mendapat rawatan kerana ini menjimatkan masa semua pihak.
Inisiatif ini juga lebih mesra warga emas kerana mereka tidak perlu menggunakan tenaga yang banyak dengan mendaki hospital hospital kerajaan tetapi boleh mendapat rawatan di klinik berdekatan sahaja.
MD.com : Dalam konteks pengurusan kesihatan diperingkat kerajaan, apakah pandangan Dr tentang tumpuan isu yang harus diberikan kerajaan ketika ini?
Datuk Dr Halim : Kerajaan perlu menambah baik premis hospital kerajaan yang kini sangat usang. Terdapat banyak alat yang perlu digantikan beberapa tahun sekali tetapi sadisnya di negara kita , kita masih menggunakan peralatan yang lama di hospital kerajaan.
Tempat rawatan dan tempat penginapan pesakit juga perlu ditambah baik demi memberi pandangan dan reputasi yang baik kepada negara kita. Kita juga ingin menolak persepsi rakyat dimana hospital kerajaan lambat, tidak selesa dan tidak cekap.
Malah ada yang terpaksa mengambil cuti sepanjang hari hanya kerana ingin menerima rawatan di hospital kerajaan. Seterusnya, kerajaan juga perlu menyediakan perkhidmatan dari segi pakar dan tempat rawatan yang terbaik di setiap negeri.
Contohnya, seperti Institut Jantung Negara (IJN) yang ditubuhkan oleh Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad dahulu dan kini kita tubuhkan yang sama sepertinya di setiap negeri. Dengan ini, setiap pesakit tidak perlu merantau dari negeri masing masing ke Kuala Lumpur hanya kerana inginkan rawatan yang terbaik.
Disamping perkhidmatan, kerajaan juga perlu menyediakan gerakkan pendidik yang memberi didikkan mengenai penjagaan kesihatan dan gaya hidup sihat. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Jika kita masih belum bersedia untuk menerima jumlah pesakit yang ramai, kita perlu membendungnya daripada berlaku.
Kini di era teknologi penuh kemodenan ini, semuanya boleh disebarkan di hujung jari. Tubuhkan satu akaun di semua platform yang digunakan untuk ‘spread awareness’ kepada rakyat bagi memberi kesedaran kepada mereka dan menambah ilmu mengenai penyakit-penyakit tersebut.
MD.com : Kini Dr terlibat dalam politik, mengapa? Apa tujuan Dr menyertai politik.
Datuk Dr Halim : Doktor ini satu profesion yang melibatkan pelbagai jenis orang. Setiap hari saya akan berjumpa dengan orang yang terdiri daripada semua lapisan masyarakat, bangsa dan agama. Jadi, saya dapat mendengar suara dan keluhan rakyat.
Semakin lama, semakin banyak masalah dan keluhan yang saya dengari sampai satu tahap, saya rasa bersalah jika terus berdiam diri dan tidak melakukan apa apa tindakkan. Seterusnya saya bertekad untuk turut serta dalam bidang politik dan membawa setiap keluhan bersama saya ke peringkat pentadbiran dalam mesyuarat atau dalam dewan rakyat.
Masalah rakyat dapat dibincangkan dan diselesaikan dengan lebih efektif. Selain itu, perspektif daripada seorang doktor memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam bidang politik kerana yang paling penting dalam apa sekalipun adalah feedback ataupun input daripada rakyat.
Dengan ini, saya dapat berhubung terus dengan rakyat untuk mendapatkan pandangan dan membawanya kepada perbincangan dipihak atasan.
Selama ini mereka hanya melemparkan komen di media sosial sahaja dan perkara ini tidak selalunya sampai ke pihak atasan. Tapi feedback daripada rakyat ini dapat sampai kepada pihak atasan dengan adanya golongan doktor dalam politik.
MD.com : Pesanan Dr kepada rakyat, apa yang mereka harus lakukan demi menjaga kesihatan diri dan keluarga dalam suasana ekonomi yang tidak menentu hari ini.
Datuk Dr Halim : Pesanan saya adalah tidak lain dan tidak bukan, jaga kesihatan dan amalkan gaya hidup sihat tidak kira macam mana situasi yang dilalui, kesihatan tetaplah nombor satu.
Selain itu, kerapkanlah bersenam di waktu lapang, kalau tidakpun adakan aktiviti bersama keluarga yang dapat mengeluarkan peluh serba sedikit terutamanya disebelah waktu petang. Dengan ini, kita dapat mencegah diri kita daripada terjerumus dalam penyakit-penyakit yang tidak diingini.
Selain itu, dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, saya juga mengesyorkan rakyat di negara kita untuk melanggan perkhidmatan insurans sebagai salah satu langkah persediaan jika terjadinya apa-apa yang tidak diingini di masa depan.