TERKINI

Bersama Ku Seman

Wawancara Ku Seman Ku Hussain yang berkongsi pandangan tentang cabaran dunia seni ketika ini serta pasca Covid 19. Beliau yang juga bekas Pengarang akhbar Mingguan Malaysia milik syarikat Utusan Melayu Malaysia Berhad, turut berkongsi pandangan tentang realiti serta masa depan industri kreatif di negara ini.

foto kredit AWANI

Wartawan :  Salam sejahtera. Apa pandangan anda tentang dasar dan hala tuju  pembangunan industri kreatif  negara kita?

Ku Seman: Salam,saya fikir lebih elok kalau dikecilkan skop industri kreatif  kita pada perfileman dan penyediaan isi kandungan kreatif untuk stesen televisyen. Maknanya bidang penerbitan filem dan drama televisyen.  Ini kerana kedua-dua bidang ini yang nampaknya  terjejas dengan  teruk akibat pandemik.  Hal ini boleh dilihat daripada beberapa kekangan yang tercetus oleh pandemik misalnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Industri kreatif kita pada asasnya sangat kecil dan rapuh.  Boleh dikatakan wujud dengan keadaan semula jadi tanpa pelan pembangunan yang komprehensif.  Bidang ini tumbuh tanpa baja yang sebaiknya malah lebih meliar untuk survival dalam kotak pasaran tempatan yang kecil.

Ibarat perahu yang kecil dipukul badai pandemik,  industri kreatif boleh dianggap tersadai dan hampir lumpuh. Di  negara-negara maju isi kandungan kreatif (creative content) mewujudkan satu profesion baharu iaitu karyawan kandungan kreatif.  Tetapi hal ini belum berlaku dengan pesat di negara kita.

Penerbitan drama dan filem digerakkan oleh tenaga produksi yang menjadi ekosistem penting penghasilan isi kandungan kreatif berkenaan.  Mereka ini sebenarnya bidang kerja profesional yang terdiri daripada manusia-manusia kreatif seperti pereka set, kostum, jurumekap dan pereka produksi.  Semua mereka dipimpin oleh pengarah (filem atau drama) dalam hal kreatif dan pengurus produksi dalam hal pengurusan.

Wartawan : Apakah industri kreatif kita menjanjikan masa depan yang baik dengan prasarana dan bakat-bakat tempatan yang ada sekarang ini?

Ku Seman: Ekonomi kreatif terbentuk daripada industri yang menggabungkan kreativiti, budaya, ekonomi dan teknologi. Industri inilah yang melahirkan dan membangunkan intelektual sebagai pemain kreatif di seluruh dunia. Maknanya kepentingan nilai budaya dan sosial menjadi teras untuk membezakan kandungan kreatif tempatan dengan yang lain.

Dari segi pembangunan dan promosi, Malaysia berada pada landasan yang tepat. Misalnya Malaysia sudah lama bersedia berdepan dengan ekonomi kreatif ini apabila menubuhkan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Multimedia Super Corridor (MSC).

MSC berperanan sebagai koridor raya yang menggerakkan industri kreatif di negara ini. Daripada sudut ekonomi, MSC adalah satu kejayaan.

Pada tahun lalu MSC mencatatkan nilai jualan RM7.69 bilion dengan nilai eksport RM1.4 bilion serta mewujudkan 11,471 peluang pekerjaan. Sebanyak 52 peratus daripada nilai eksport ini disumbangkan oleh bidang animasi.

Ini menunjukkan cabang-cabang kandungan kreatif genre lain belum menonjol di peringkat global.  Sebahagian besar drama yang disiarkan di stesen televisyen tempatan misalnya sangat substandard. Buruk sangat.

Wartawan : Selain nilai ekonomi, apakah pembudayaan juga suatu yang penting dalam kandungan kreatif?

Ku Seman : Tuntutan terhadap isi kandungan sangat tinggi.  Industri ini  diibaratkan sentiasa “kelaparan”  bahan untuk diisi.  Teknologi pula membuatkan isi kandungan kreatif  lebih mudah  dicapai oleh pelanggan.  Kalau peluang keemasan ini tidak direbut dengan tanggungjawab  menghasilkan kandungan kreatif yang membawa citra dan tamadun bangsa, sudah tentu ini satu yang merugikan.

Selain Amerika Syarikat (AS) yang menjadi pembekal utama kandungan kreatif terbesar,   negara maju yang lain yang kental tamadun budayanya seperti Jepun dan Korea Selatan antara  pemain baharu dalam industri ini. Kedua-dua negara ini tidak sahaja mengeksport kandungan kreatif tetapi nilai budaya setempat. 

Jepun dan Korea Selatan menjana pendapatan berbilion ringgit daripada ribuan siri drama berbahasa asal. Kenapa bahasa asal? Tentulah dasar kerajaan dan kesedaran dalam kalangan karyawan untuk menjadikan kandungan kreatif ini juga sebagai agen pembudayaan.

Di mana kedudukan kita sebagai pemain dalam industri kandungan kreatif  (selain animasi) di peringkat dalam negara, Asia Tenggara, Asia dan global? Sekali lagi, di mana kedudukan kita?  

Adakah kita merasa cukup selesa hanya menjadi pelanggan kepada eksport budaya dari negara-negara yang disebutkan di atas tadi? Atau kita juga perlu melipatgandakan usaha untuk  menjadi pengeksport budaya dan tamadun tinggi bangsa kepada negara berkenaan?

Kalau pun kita belum mampu lagi untuk melebarkan sayap ke negara-negara jiran  (yang sebenarnya mengeksport  kandungan kreatif yang buruk dan busuk), apakah  kita tidak mampu memanfaatkan ledakan tenologi digital ini untuk membudayakan tamadun tinggi kepada  rakyat  tempatan? 

Saya melihat hal ini sebagai suatu yang amat membimbangkan dalam konteks matlamat sebenar industri kreatif. Kita mempunyai karyawan yang kreatif tetapi persiapan daripada segi pemikiran dan tanggungjawab sosial belum memuaskan.

Banyak yang tersihir dengan nilai-nilai kontemporari dari luar dengan alasan memburu penarafan antarabangsa. Kalau penghasilan kandungan kreatif yang disiarkan di televisyen tempatan dijadikan rujukan, penekanan terhadap budaya seperti yang dilakukan oleh Korea Selatan dan Jepun secara umumnya hampir tidak ada.

Kualiti intelektual sangat rendah, hasil estetika berselerak dan tidak diadun dengan penuh sedar.  Adakah kita lebih selesa menjadi pengimport kandungan kreatif (drama) yang bertaraf sampah dari Indonesia, Filipina dan beberapa negara lagi?

Wartawan : Di mana duduknya industri kreatif  kita dalam konteks global  dengan mengambil contoh negara seperti Korea Selatan dan Jepun?

Ku Seman : Sepatutnya kita sudah jauh lebih hebat. Program televisyen dan filem di pawagam sepatutnya sudah ke depan dengan sumber alam budaya yang sangat kaya di negara ini. Ironinya sesetengah masih lagi membenamkan kepala dalam lumpur ketika industri kreatif di luar negara bangkit sebagai soft power dan pemangkin kuasa neokolonialisme.

Sekiranya kualiti begini mendapat pasaran pada peringkat global dan menjana ekonomi dalam industri kreatif, ini bukan suatu yang menggembirakan tetapi sebuah tragedi. Semua ini membuktikan teknologi boleh dibeli, daya kreatif boleh dilatih tetapi tanggungjawab selain sebagai pencari wang tidak datang tanpa kesedaran yang tinggi.

Inilah cabaran besar yang mesti dihadapi oleh 345 syarikat berstatus MSC Malaysia setakat 31 Mac lalu di bawah kluster Kandungan Kreatif dan Teknologi dan juga keseluruhan 2,986 syarikat berstatus MSC Malaysia yang aktif. Ini bukan main-main kerana mereka yang menerajui syarikat-syarikat ini adalah penentu arah.

Mereka mesti menyumbang sebagai pembina tamadun bangsa dengan ketinggian intelektual dan kesedaran. Pada masa sama, memanfaatkan teknologi untuk menghasilkan kandungan kreatif yang mendokong prinsip sebuah bangsa yang bernegara. Teknologi hanya alat dan manusia berakal yang menjadi penentunya.

Wartawan : Apa nasihat atau kesimpulan dalam isu ini?

Ku Seman : Kita tidak boleh berterusan menjadi pelanggan atau pengimport kandungan kreatif luar. Sebaliknya, mesti bergerak sebagai pengeksport di pasaran global. Adalah sangat memalukan apabila negara sehebat Malaysia mengimport kandungan kreatif yang buruk dari Amerika Latin, Filipina dan beberapa negara lagi.

Pada era digital membentuk tatacara kehidupan dan cara berfikir hampir seluruh pelosok dunia, industri kandungan kreatif menjadi wahana penting pembinaan tamadun bangsa yang sedar akan manfaat dan menguasainya. Dalam konteks tempatan, industri kreatif bukan sahaja untuk menjana ekonomi tetapi semestinya  menjadi  landasan mengangkat sosiobudaya ke peringkat global.

Akhirnya, jika kita lihat laporan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, PBB (UNCTAD), nilai industri kreatif global kini kira-kira RM6.7 trilion (AS$1.6 trilion). Malah ia turut mewujudkan 29.5 juta peluang pekerjaan atau satu peratus daripada populasi aktif di dunia. 

Secara perbandingan pula kalau dihimpunkan semua pekerja industri automatif di Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Jepun, jumlahnya masih jauh lebih rendah berbanding dalam industri kandungan kreatif ketika ini. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp