TERKINI

Kod Etika AI Perlu Menyeluruh – Pakar

Gambar hiasan – foto nesabamedia

KUALA LUMPUR, 20 Sep 2023 – Kod etika teknologi kecerdasan buatan (AI) yang sedang dirangka kerajaan, perlu merangkumi pelbagai elemen bagi memastikan isu yang timbul berkaitannya dapat ditangani dengan baik, menurut pandangan pakar teknologi.

Pengerusi Pusat Kajian Teknologi Kecerdasan Buatan Fakulti Teknologi Dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Masri Ayob berkata elemen berkenaan termasuk isu kerahsiaan, integriti, ketersediaan, kesahihan dan kebertanggungjawaban.

Beliau berkata pembangunan kod etika AI juga memerlukan penglibatan pelbagai pihak bagi memastikan kod yang dirangka bersifat menyeluruh.

“Antara kaedah yang boleh dilakukan adalah membentuk pasukan multidisiplin terdiri daripada ahli dalam pelbagai bidang, etika, hukum, teknologi AI, privasi serta pelbagai perspektif daripada pihak berkepentingan.

“Manakala perbincangan dengan pihak bertanggungjawab pula termasuklah masyarakat umum, organisasi dan kerajaan, selain perlunya mekanisme untuk melaksanakan semakan serta pembaharuan kod secara berkala,” katanya kepada Bernama.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang merangka kod etika AI untuk panduan pembangunan teknologi berkenaan di Malaysia secara bertanggungjawab dan dipercayai, sekali gus menangani isu yang dijangka tercetus.

Ketua Setiausaha kementerian berkenaan Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata apabila siap kelak, kod etika berkenaan boleh menjadi panduan untuk jabatan dan agensi kerajaan, industri dan sektor pendidikan serta orang awam sebagai pengguna akhir.

Sementara itu, Penyelidik di Pusat Pengajian Pengkomputeran, Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Azizi Ab Aziz pula berpandangan teknologi AI mampu memberi nilai tambah dalam aspek kehidupan manusia dan seharusnya digunakan bagi kerja-kerja yang kompleks.

“AI akan memberi nilai tambah kepada aspek pekerjaan yang melibatkan aspek kemanusiaan iaitu kreativiti, belas kasihan, empati, strategi, pemikiran kritis dan sebagainya kerana teknologinya pada saat ini masih lagi belum sampai ke tahap menggantikan sumber manusia dalam pekerjaan.

“Contohnya, kehadiran teknologi seperti ChatGPT telah membuka ruang dan peluang pekerjaan sebagai jurutera segera, penanda data dan pencipta kandungan AI diwujudkan,” katanya. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp