TERKINI

Pengurus, Punca Artis Dipinggirkan – Ahmad Idham

Ahmad Idham – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 10 Sept 2023 – Segelintir pengurus artis yang berlagak diva daripada artis itu sendiri, bakal merosakkan karier mereka, kata Dr Ahmad Idham.

Bekas CEO Finas itu berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada penerbit berkaitan sikap pengurus artis hingga menyebabkan artis dipinggirkan.

“Sebenarnya sudah lama saya mendengar keluhan dari beberapa rakan penerbit yang kecewa dengan sikap sesetengah pengurus artis hinggakan mereka membatalkan hasrat untuk memberi tawaran lakonan drama dan filem pada artis tersebut.

“Tahukah mereka sudah ramai penerbit yang mengeluarkan kenyataan yang ramai pengurus artis ini lebih diva dari artis mereka,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Idham berkata, artis seharusnya memainkan peranan secara peribadi untuk mengenali persekitaran mereka dan tidak bergantung sepenuhnya kepada pengurus.

“Pengurus ini ada ketikanya baik, tetapi mereka juga boleh menghancurkan karier anda, nasihat saya, jangan terlalu lepaskan semua pada pengurus, sebagai artis buat lah juga PR untuk mengeratkan lagi hubungan dengan penerbit.

“Industri kita masih kecil dan adalah amat penting untuk menghasilkan hubungan yang baik antara artis bersama penerbit dan bukannya di biarkan pada pengurus sahaja untuk membuat PR,” katanya.

Tambahnya, disebabkan sikap sesetengah pengurus itu mengakibatkan artis tersebut hilang populariti disebabkan kurang menerima tawaran daripada penerbit.

Memburukkan keadaan, kemunculan bintang-bintang baharu juga menjadikan pilihan penerbit semakin banyak.

“Industri Malaysia ini bukanlah besar sangat, dan hari ini juga kita dapat melihat ramai artis artis baru mula memasuki indistri dan setiap tahun ada sahaja yang baru.

“Kita juga lihat di sebabkan senario sedemikian, tempoh populariti seseorang artis hari juga semakin pendek, tahun ini boleh popular dan tahun depan dah boleh hilang populariti.

“Ini lah juga antara kesan media sosial yang melahirkan ramai pempengaruh setiap masa, penerbit kini mempunyai lebih pilihan. Sedarlah wahai artis artis muda,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp