TERKINI

Ahmad Zahid Beri Bayangan Penubuhan Kerajaan Perpaduan Tidak Semestinya Berlaku Di Negeri Lain

foto umno

MUAR, 31 Mac 2023 – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi bayangan bahawa penubuhan Kerajaan Perpaduan yang mungkin berlaku di Melaka, tidak semestinya akan berlaku di negeri lain termasuk Johor.

Beliau menjelaskan ini adalah kerana situasi politik yang berlaku di Melaka, tidak ada kena mengena dengan situasi politik di negeri lain.

“Jadi suasana politik di negeri lain mungkin berbeza dengan apa yang berlaku di negeri Melaka. Saya harap tiada sebarang spekulasi yang wujud, sebab yang penting ialah kestabilan politik bukan sahaja di peringkat nasional, tetapi kita yakin kestabilan juga perlu diwujudkan untuk pentadbiran di setiap negeri,” kata beliau kepada pemberita pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Kampung Sungai Gersik, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata apa yang penting ialah, rakyat mengharapkan kestabilan politik dapat diterjemahkan menerusi limpahan pelaburan daripada luar negara, sekali gus peluang ekonomi atas kepercayaan para pelabur, sama ada domestik ataupun daripada luar negara.

“Kestabilan juga akan membawa keyakinan kepada rakyat akan kepimpinan negeri itu sendiri dan saya yakin apa yang diharapkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ialah kestabilan politik,” kata Ahmad Zahid.

Sejak semalam, politik di Melaka menjadi tumpuan ramai, apabila Datuk Seri Sulaiman Md Ali meletak jawatan sebagai Ketua Menteri ke-12.

Ketika ini, Melaka ditadbir sepenuhnya oleh kerajaan BN. BN Melaka mempunyai 21 kerusi daripada 28 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan dengan lima kerusi dan Perikatan Nasional dua kerusi.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO hari ini berkata UMNO mencadangkan nama Pengerusi UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13. – sumber BERNAMA

Facebook
Twitter
WhatsApp