TERKINI

Aidiladha : Op Lancar PDRM di Lebuh-lebuh Raya Utama

Gambar hiasan – foto berita harian

KUALA LUMPUR, 26 Jun 2023 – Op Lancar akan dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena perayaan Hari Raya Aidiladha bagi memastikan aliran trafik bergerak dengan baik di seluruh negara pada Rabu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, Op Lancar ini dilaksanakan selama lima hari sehingga Ahad.

“Pengguna jalan raya dijangka melakukan pergerakan pada hari Rabu sehingga Ahad kerana Hari Raya Aidiladha jatuh pada 29 Jun iaitu Khamis.

“Tumpuan operasi di semua lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Karak, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan lebuh raya yang menghubungkan negeri dan daerah,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, Op Lancar ini berperanan bagi memantau dan mengambil tindakan penyuraian lalu lintas di semua persimpangan lampu isyarat atau persimpangan yang dijangkakan akan berlaku kesesakan yang melampau.

Jelasnya, semua jalan persekutuan, jalan negeri serta jalan bandaran turut dipantau bagi memberi keselesaan pergerakan lalu lintas.

“Peringatan kepada pengguna jalan raya supaya sentiasa bekerjasama, berhemah, berhati-hati dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemanduan bagi mengelak kemalangan berlaku.

“Rancang pergerakan dengan kesihatan yang baik dan minda yang cergas,” ujarnya.

Tambah Mat Kasim, warga kerja JSPT di seluruh negara akan memantau lokasi kesesakan di negeri masing masing. – sinar harian

Facebook
Twitter
WhatsApp