TERKINI

Batal WBB – kerajaan tidak kompeten, kata MPT BERSATU

Mohd. Yadzil Yaakub (Gambar kecil) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 27 Jan 25 – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATUA, YB Dr Mohd. Yadzil Yaakub menyifatkan keputusan kerajaan menarik semula cadangan pelaksanaan Waktu Bekerja Berlainan (WBB) sebagai kerajaan yang tidak kompeten dan lemah mentadbir (bad governance).

Dalam satu kenyataan, Dr Yadzil mempersoalkan cara bekerja kerajaan yang membuat pengumuman WBB namun kajian mengenai kebolehlaksanaan WBB belum dibuat.

“Kerajaan sekali lagi menunjukkan ‘bad governance’ dalam membuat keputusan. Umum dulu, fikir kemudian.

“Dah masuk tahun ketiga kerajaan campuran ini mentadbir Malaysia tapi masih ditakuk yang lama. Tidak kompeten.

“Menariknya, Kementerian baru hendak menubuhkan jawatankuasa khas yang akan berperanan mengkaji berkaitan penjadualan waktu kerja ini. Bukankah jawatankuasa ini sepatutnya dibuat lebih awal? Ujarnya.

Dr Yadzil yang juga pengamal perubatan, mengingatkan agar menteri melibatkan terlebih dahulu semua pemegang taruh sebelum membuat apa-apa cadangan mahupun keputusan.

“Saya ingatkan pihak Menteri, kita perlu kajian terperinci serta pandangan dari semua pemegang taruh dalam sektor kesihatan terutama petugas kesihatan yang lebih faham dengan keadaan di lapangan sebelum keputusan dimuktamadkan. Barulah nanti sesuatu keputusan jadi lebih baik.

“Ada banyak lagi isu utama dalam sektor kesihatan yang perlu pihak kerajaan ambil perhatian untuk penambahbaikkan sistem kesihatan. Katanya.

Terdahulu, Dzulkefly dalam kenyataan memaklumkan Jemaah Menteri memutuskan untuk membatalkan projek rintis WBB bagi memberi laluan kepada kajian lebih mendalam dan menyeluruh.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira segala pertimbangan dan susulan itu Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Abu Bakar Suleiman.

Cadangan Menteri sebelum ini, menjadi pertikaian beberapa pihak.

MMA menyuarakan kebimbangan bahawa pelaksanaan sistem WBB akan memburukkan lagi kekurangan tenaga kerja sedia ada, membebankan doktor dengan tugas berlebihan serta memberi kesan negatif kepada kualiti penjagaan pesakit. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp