TERKINI

Cadangan Sultan Johor : Peguam saran semua pihak teliti terlebih dahulu cadangan Raja

Haniff Khatri (gambar kecil), Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (kanan) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 12 Dis 2023 – Peguam, Haniff Khatri Abdulla menyambut baik cadangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melapor secara terus kepada Istana Negara berbanding Parlimen.

Dalam satu rakaman video di youtube, Haniff berkata beliau bersetuju dan mengesyorkan agar cadangan yang baik dan bernas ini diambil kira dan diteliti oleh semua pihak.

“Cadangan ini sebenarnya bagi saya sebagai seorang pengamal undang-undang dan rakyat Malaysia, adalah cadangan yang baik yang perlu dihalusi diteliti.

“Dan sekiranya dapat diterima pakai, maka hendaklah dirangka undang-undang yang perlu termasuk dan tidak terhad kepada pindaan perlembagaan. Ujarnya.

Menurut Haniff lagi, selama ini rakyat sering kali menampilkan persoalan adakah pihak penguat kuasa undang-undang sama ada pejabat peguam negara, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun SPRM sering kali dikatakan dan dibuat persepsi mempunyai campur tangan oleh pihak eksekutif, pihak kerajaan.

Haniff juga berkata, ini adalah kerana orang awam tahu pelantikan ketua-ketua agensi ni adalah daripada cadangan ketua eksekutif kerajaan iaitu Perdana Menteri yang kemudian yang dilantik oleh ke bawah Duli yang di Pertuan Agong.

“Bukankah atas fahaman ini ramai tertanya-tanya sekiranya kerajaan perlu dan mempunyai kepentingan terhadap apa-apa isu yang membabitkan secara terus dengan kerajaan, maka mereka akan mencampuri urusan pejabat peguam negara, urusan kehakiman, urusan polis dan SPRM.

“Itu adalah kekhuatiran yang wujud dan terdapat pelbagai keadaan yang telah menampilkan persepsi ini iaitu sekurang kurangnya sejak daripada merdeka sampai sekarang. Katanya.

Haniff menambah, antara perkara yang perlu dilihat dengan objektif ialah bagaimanakah kita boleh meneliti cadangan ini.

“Saya nampak daripada komen beberapa pihak yang secara semberono mempersoalkan cadangan baik ini, dan bagi saya untuk menolak cadangan yang baik tanpa penelitian dan penghalusan adalah satu tindakan yang tidak matang, satu tindakan yang tidak sihat untuk sistem tadbir urus negara.

“Sememangnya rakyat perlukan suatu institut bebas yang menentukan pelantikan ketua-ketua agensi pelaksanaan undang-undang supaya tidak ada kepentingan ataupun konflik kepentingan dengan pihak kerajaan eksekutif di satu sudut, dan pihak pelaksanaan undang-undang.

Beliau mengesyorkan agar cadangan tersebut diambil kira, diteliti oleh semua pihak sama ada pihak, kerajaan pihak pembangkang mahupun pihak penjawat penjawat awam dan juga NGO-NGO dan aktivis. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp