TERKINI

Covid-19 : Pakar saran kerajaan tingkat keupayaan perubatan di pintu masuk negara

Gambar hiasan – foto Sinar Harian

SHAH ALAM, 4 Dis 2023 – Pakar bidang perubatan menyarankan kerajaan agar meningkatkan keupayaan perubatan di setiap pintu masuk negara bagi mengesan dan mengekang penularan jangkitan Covid-19.

Pakar Virologi Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, penyediaan makmal perubatan di pintu masuk negara dilihat membantu ujian pengesanan penyakit tersebut dijalankan dengan cepat.

“Sekiranya kita berjaya mengesan penyakit Covid-19 dengan pantas maka kita boleh cepat merawat dan menyekat ia daripada merebak.

“Yang penting keupayaan makmal yang disediakan di pintu masuk itu mesti dipertingkatkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Dalam pada itu, ujar Dr Sazaly, trend peningkatan Covid-19 yang dilihat berlaku pada akhir tahun berkemungkinan disebabkan oleh beberapa faktor.

“Faktor cuaca dan cuti sekolah juga boleh mendorong kepada peningkatan jangkitan Covid-19 di negara ini.

“Kebanyakan mereka berada di satu tempat yang tidak ada peredaran udara baik hingga memudahkan kita turut terdedah dengan jangkitan-jangkitan saluran pernafasan yang lain seperti influenza-A, influenza-B dan rhinovirus,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, simptom jangkitan Covid-19 berkemungkinan tidak kritikal seperti sebelum ini memandangkan orang ramai telah menerima vaksin yang membolehkan sistem imunisasi badan dapat melawan Covid-19.

“Namun bagi mereka yang ada komorbiditi (menghidap dua atau lebih penyakit serentak seperti kencing manis, sakit jantung, asma dan masalah buah pinggang kronik) walaupun telah mendapat vaksin tetapi mereka tetap terdedah risiko kerana imuniti badan tidak kuat seperti orang lain,” jelasnya. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp