KUANTAN, 21 Apr 24 – Penduduk Pahang diingatkan supaya peka dengan keadaan semasa sebelum melakukan sebarang aktiviti luar terutama melibatkan kanak-kanak, susulan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.
Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Rusdi Abd Rahman menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti luar sekiranya cuaca terlalu panas, selain perlu memastikan pengambilan air yang mencukupi.
“Kalau keadaan terlalu panas, elakkan diri daripada melakukan aktiviti luar, mereka yang nak buat perancangan misalnya berkhemah dan sebagainya, tengok ramalan cuaca…kalau keluarga bersama anak-anak cari masa yang sesuai untuk beraktiviti luar selain pakai pakaian yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Karnival Kekal Sihat Pahang dan 3rd Advanced Wound Healing Conference 2024 oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Razali Kassim di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, Dr Rusdi memaklumkan setakat ini pihaknya hanya menerima kes keletihan haba dan ia terkawal dengan pesakit kembali pulih selepas mendapatkan rawatan di hospital.
“Kebanyakan pesakit sebelum ini mereka tidak minum air yang mencukupi kerana berpuasa dan melakukan kerja yang agak berat untuk menyambut raya,” katanya.
Sebelum ini, Pahang merekodkan satu kes kematian akibat strok haba membabitkan seorang lelaki berusia 22 tahun yang dilaporkan meninggal dunia pada 2 Feb lepas. – Bernama