KUALA LUMPUR, 31 Mac 2023 – Operasi perkhidmatan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di enam stesen LRT Laluan Ampang-Sri Petaling akan dihentikan bermula Ahad ini membabitkan stesen Bandaraya, stesen Sultan Ismail, stesen PWTC, stesen Titiwangsa, stesen Sentul dan stesen Sentul Timur.
Pemberhentian operasi itu disebabkan tren digunakan untuk perkhidmatan antara stesen Bandaraya ke stesen Sentul Timur tidak lagi dapat memenuhi kriteria pengoperasian ditetapkan dan terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.
“Ia susulan kejadian kerosakan struktur dan landasan berhampiran stesen LRT Bandaraya yang menyebabkan tren tidak dapat kembali ke depoh LRT di Ampang untuk menjalani kerja penyelenggaraan sejak 27 Januari lalu,” kata Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan pada Khamis.
Jelasnya bagi menampung keperluan dan melancarkan perjalanan penumpang terjejas, pihak Rapid Rail akan menyediakan perkhidmatan bas ekspres percuma LRT 13 dan LRT 14 bermula Ahad ini sebagai tambahan kepada perkhidmatan bas LRT 11 sedia ada.
Katanya, laluan perkhidmatan bas itu membabitkan bas LRT 11 dari LRT Masjid Jamek-LRT Bandaraya-LRT PWTC-LRT Titiwangsa-LRT Sentul-LRT Sentul Timur.
“Bagi bas LRT 13 pula dari LRT Masjid Jamek-LRT Sentul-LRT Sentul Timur dan bas LRT 14 dari LRT Masjid Jamek-LRT Titiwangsa.
“Perkhidmatan bas LRT 11, 13 dan 14 ini akan beroperasi dengan 40 bas dan kekerapan antara 10 hingga 15 minit pada waktu puncak bergantung kepada keadaan trafik semasa,” jelas kenyataan itu.
Bermula 2 April ini juga, perkhidmatan bas LRT 9 (LRT Hang Tuah-LRT Bandaraya) dan bas LRT 10 (LRT Masjid Jamek-LRT Bandaraya) akan ditamatkan.
“Bagi melancarkan perjalanan, semua perkhidmatan bas ini akan menggunakan laluan bas khas yang sudah disediakan. Penguatkuasaan akan dijalankan pihak berkuasa bagi memastikan laluan bas ini tidak disalah guna kenderaan lain,” katanya.
Katanya, penumpang juga disaran menggunakan laluan rel alternatif, iaitu bagi yang menuju ke Hang Tuah boleh menaiki Laluan Monorel melalui Stesen Titiwangsa.
Bagi penumpang yang mahu ke Chan Sow Lin pula boleh menaiki laluan MRT Putrajaya melalui Stesen Titiwangsa.
“Penumpang juga digalakkan menggunakan aplikasi PULSE untuk merancang perjalanan dan mengikuti laman media sosial Rapid KL untuk mendapatkan maklumat terkini,” jelas kenyataan itu.
Mengulas lanjut Rapid Rail berkata, anggota operasi rel, polis bantuan dan troopers akan ditempatkan di stesen terbabit bagi membantu dan mengawal pergerakan penumpang.
“Rapid Rail memohon maaf di atas kesulitan dihadapi penumpang. Kami berterima kasih dan menghargai kesabaran penumpang,” katanya. – sumber AWANI