TERKINI

“Ini Suatu Perbuatan Yang Cukup Jahat” – Radzi Jidin

Mohd Radzi Md Jidin (kiri), Balkis Zakaria (isteri-kanan) – foto Bebasnews

KUALA LUMPUR, 25 Sept 2023 – Bekas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Md Jidin menyifatkan tuduhan yang mendakwa beliau terlibat dengan rasuah dalam satu projek rundingan terus bernilai RM80 juta adalah fitnah dan boleh menjejaskan imejnya.

Menerusi rakaman video di Facebook, beliau mahu penyebar fitnah tersebut untuk tampil memohon maaf.

“Ini satu fitnah yang besar dan kepada penyebar, ya anda mungkin gembira kerana ia sudah tular tetapi itu gembira di dunia.

“Menjawablah di akhirat kelak. Ini satu perbuatan yang cukup jahat,” katanya dalam video tersebut.

Radzi turut menjelaskan, isterinya, Datin Balkis Zakaria bukan daripada keturunan kerabat diraja ataupun tengku dan tidak pernah terlibat dalam sebarang urusan kementerian.

“Nama isteri saya, Balkis binti Datuk Syeikh Haji Zakaria bin Ahmad Wan Besar. Kalau sahabat-sahabat di Kedah, pasti mengenali salah seorang ulama besar yang menerbitkan buku dan kerap bersiar di radio ketika itu. Jadi, inilah isteri saya.

“Isteri saya ini kalau nak tahu, dia tidak pernah terlibat dengan urusan kementerian. Sebagai contoh, sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila ditanya mengenai tarikh sekolah akan dibuka bila dan saya jawab, tunggu pengumuman di TV.

“Ini adalah contoh bahawa kami tegas dan tidak ada penglibatan isteri saya langsung,” tegasnya.
Justeru, Radzi menasihatkan penuduh dan penyebar untuk bertaubat kerana tuduhan tersebut memberikan kesan yang amat besar.

Menurutnya lagi, fitnah lebih bahaya daripada membunuh dan tindakan tersebut seperti mahu membunuh karakternya.

Sebelum ini, tular mesej menerusi applikasi WhatsApp, mengaitkan dirinya dan isteri dengan percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan tidak menolak kemungkinan akan memanggil bekas Menteri Kanan Pendidikan itu bagi membantu siasatan berkaitan projek percetakan buku bernilai kira-kira RM80 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.- malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp