TERKINI

Isu Kalimah Allah : Kerajaan Perlu Segera Laksana Arahan Menurut Titah Baginda Tuanku – Haniff Khatri

Haniff Khatri – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 6 Jun 2023 – Peguam, Haniff Khatri menggesa kerajaan agar segera melaksanakan arahan melalui polisi yang terbaru berkaitan dengan isu penggunaan kalimah ‘Allah’, dengan memetik semula arahan kerajaan bertarikh 5 Disember 1986.

Haniff berkata demikian ketika mengulas titah baginda Tuanku Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan kegusaran berhubung isu penggunaan kalimah “Allah” yang dikhuatiri menjadi polemik berlarutan dan boleh menjejaskan perpaduan nasional dan kesejahteraan negara jika tidak diselesaikan segera.

“Berpandukan kepada titah baginda tuanku yang tegas dan jelas ini, menjadi amat penting untuk kerajaan kini melaksanakan melalui satu arahan polisi kerajaan yang terbaru dengan memetik semula arahan kerajaan bertarikh 5 Disember 1986 yang telah pun berkuatkuasa untuk tempoh 35 tahun sehingga mahkamah tinggi kuala lumpur membatalkannya pada 10 Mac 2021.Tambahan pula dengan ditarik balik rayuan pada 18 April 2023 yang lalu. Kata beliau dalam satu hantaran video di laman sosial facebook semalam.

Menurut Haniff, ia amat penting kerana titah baginda tuanku memerlukan kerajaan mengambil tindakan yang tegas.

“Seperti yang telah berulang kali dinasihati sebelum ini. Perkara ini boleh dilakukan dengan tegas dan segera tanpa perlu ditangguhkan lagi, iaitu arahan seperti yang wujud pada 5 Disember 1986 dibuat dengan tepat dan betul mengikut peruntukan seksyen 9 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yakni Akta 301 mematuhi kehendak baginda tuanku YDP Agong dan Raja-raja. Kata Haniff.

Berdasarkan keputusan jawatankuasa yang dianggotai oleh (Allahyarham) Tun Ghaffar Baba, Anwar Ibrahim dan James Ongkili bahawa 12 perkataan yang boleh digunakan ialah; Al Kitab, Firman, Rasul, Syariah, Iman, Ibadah, Injil, Wahyu, Nabi, Syukur, Zikir, Doa. Dan yang kedua perkataan-perkataan yang tak boleh dipakai; Allah, Kaabah, Baitullah, Solat.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kegusaran berhubung isu penggunaan kalimah ‘Allah’ yang dikhuatiri menjadi polemik berlarutan dan boleh menjejaskan perpaduan nasional dan kesejahteraan negara jika tidak diselesaikan segera.

“Kerajaan beta hendaklah mengharmonikan situasi semasa dan pada masa yang sama meletakkan penggunaan kalimah Allah pada konteks yang betul dengan mengambil kira keselamatan negara kemaslahatan ummah dan kedudukan Beta serta Raja-Raja Melayu yang lain sebagai ketua agama Islam,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 di Istana Negara sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Isnin. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp