TERKINI

Jualan Proton Meningkat 40.9 Peratus Pada Mei

Gambar hiasan – foto showroom kepong

KUALA LUMPUR, 9 Jun 2023 – Jualan kereta nasional Proton Holdings Bhd dalam pasaran domestik dan eksportnya meningkat sebanyak 40.9 peratus pada Mei 2023 kepada 13,268 unit bulan ke bulan.

Prestasi itu berikutan permulaan perlahan pada suku kedua tahun ini disebabkan pasaran automotif Malaysia terjejas oleh cuti perayaan dan penamatan penghantaran untuk kereta dikecualikan cukai pada Mac, katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

“Jualan untuk lima bulan pertama tahun ini berjumlah 62,970 unit, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 38.9 peratus, pertumbuhan tertinggi antara jenama dalam pasaran automotif Malaysia.

“Sementara itu, jumlah volum industri dianggarkan meningkat semula sebanyak 32.2 peratus kepada 61,600 unit pada Mei,” katanya, sambil menambah pegangan pasaran Proton berada pada 21.5 peratus bagi bulan itu.

Pada Mei, pengeluar kereta itu turut meneroka pasaran eksport baharu, Mozambique, pasaran baharu pertamanya untuk 2023 dan ke-12 keseluruhan, menawarkan model X70 dan X50.

“Selain memasuki pasaran baharu, Mei juga merupakan bulan terbaik untuk jualan eksport sepanjang tahun, dengan 217 unit terjual, diterajui oleh Proton Saga.

“Bagi jualan keseluruhan, Proton Saga mengekalkan kedudukannya sebagai model terlaris dengan 5,819 unit terjual pada Mei, meletakkannya di tempat kedua keseluruhan untuk sedan segmen A dengan 27,214 unit terjual setakat ini, peningkatan yang luar biasa sebanyak 51 peratus tahun ke tahun, ” katanya.

Pengeluar kereta itu berkata, tiga model iaitu X50, Proton Persona dan Exora menerajui jualan segmen keseluruhan pada Mei.

Ia berkata X50 terus menerajui jualan keseluruhan segmen B dan kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan 2,801 unit terjual, manakala model Persona kekal sebagai peneraju keseluruhan bagi sedan segmen B pada tahun ini walaupun menduduki tempat kedua dengan 2,290 unit dijual pada bulan tersebut.

“Proton Exora mencapai 440 jualan untuk kekal di atas pasaran MPV segmen C,” katanya.

Proton berkata pertumbuhan jualan tahun sehingga kini bagi tiga peneraju segmen ialah 31 peratus untuk model X50, 78 peratus untuk Persona dan 39 peratus untuk Exora, membuktikan permintaan untuk modelnya kekal kukuh walaupun terdapat persaingan daripada pesaing baharu.

“Sebanyak 929 unit model X70 telah dijual pada Mei manakala X90 serba baharu menamatkan tiga minggu pertamanya dijual dengan 257 unit terjual, meletakkannya di tempat kedua dalam pasaran SUV segmen D,” katanya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah berkata permintaan terhadap model X90 adalah kukuh kerana pelanggan memanfaatkan pakej early bird yang menawarkan aksesori.

“Syarikat juga akan mengadakan lebih banyak pelancaran produk baharu dan memperkenalkan kemas kini kepada rangkaian sedia ada kami sambil membuat penampilan sulung kami dalam pasaran kenderaan elektrik melalui anak syarikat kami Pro-Net, (dengan) banyak aktiviti lain sepanjang 2023,” katanya. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp