
KUALA LUMPUR, 27 Sept – Bekas pemimpin politik, Khairuddin Abu Hassan mendakwa kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bergantung sepenuhnya kepada sokongan bukan Melayu demi survival politik, sekali gus mengabaikan kepentingan masyarakat Melayu di bandar.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menuduh kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan UMNO telah melemahkan kedudukan politik serta ekonomi orang Melayu, malah mendakwa agenda politik kerajaan Madani kini banyak dipengaruhi oleh DAP.
“Agenda utama DAP, PH serta UMNO kini adalah untuk menghalau orang-orang Melayu dari kawasan bandar agar keseluruhan kawasan bandar dikuasai oleh kaum lain,” dakwanya dalam kenyataan tersebut.
Khairuddin turut mengaitkan isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa dengan pimpinan kerajaan, termasuk mendakwa proksi politik tertentu kebal daripada siasatan pihak berkuasa seperti SPRM dan PDRM. Bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan sebarang bukti kukuh bagi menyokong tuduhan tersebut.
Menurutnya lagi, kedudukan masyarakat Melayu di bandar kini berada pada tahap “genting” dan berisiko kehilangan penguasaan ekonomi sekiranya kerajaan terus mengekalkan pendekatan politik sedia ada.
Beliau menyeru agar orang Melayu lebih berhati-hati dalam membuat pilihan politik pada masa hadapan, kerana mendakwa masa depan bangsa dan agama boleh terancam jika kerajaan pimpinan PH-UMNO terus berkuasa. -malaydaily.com