TERKINI

Krisis Politik Perlis Tonjol Disiplin Parti Dalam PAS

KUALA LUMPUR, 28 Dis — PAS menegaskan tindakan menggugurkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Perlis yang terbabit dalam kemelut politik negeri itu adalah bukti ketegasan disiplin parti serta komitmen memastikan pemimpin mematuhi keputusan organisasi.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Haim Hilman berkata, keputusan itu menghantar mesej jelas bahawa semua wakil rakyat PAS tertakluk kepada arahan parti, termasuk dalam isu kepimpinan kerajaan negeri.

“Tindakan tegas terhadap tiga adun yang terlibat dalam usaha menjatuhkan Menteri Besar adalah bukti ketegasan dan disiplin tinggi PAS terhadap pemimpinnya,” katanya.

Beliau berkata langkah itu bukan sekadar dikenakan kepada tiga adun terbabit, tetapi isyarat kepada semua wakil rakyat PAS.

“Ia natijah kepada semua adun dan Ahli Parlimen PAS agar sentiasa kembali kepada kepimpinan parti dalam menangani apa juga isu, terutama isu besar,” katanya.

Menurutnya, PAS berharap krisis Perlis akan mengukuhkan keyakinan ahli dan penyokong bahawa parti itu serius menjaga disiplin dalaman.

“Krisis Perlis ini diharap memperkukuhkan lagi kepercayaan ahli PAS, penyokong PAS dan mereka yang berada di atas pagar kerana dapat melihat sebuah parti yang tegas dan berdisiplin,” katanya.

Beliau turut memuji tindakan bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang melepaskan jawatan secara tenang tanpa mencetuskan polemik.

“Tindakan beliau adalah contoh kejayaan tarbiyah PAS. Dalam PAS, jawatan bukan kebanggaan tetapi amanah yang sangat berat,” katanya.

Dr Haim menegaskan PAS mahu membentuk kepimpinan yang “bersih, ikhlas dan berwawasan”, termasuk melibatkan golongan profesional dan agamawan.

“PAS sedar rakyat, khususnya anak muda, mencari sosok yang benar-benar bersih dan ikhlas. Atas kefahaman itu PAS menonjolkan lebih ramai agamawan dan profesional,” katanya.

Beliau menambah bahawa PAS komited memastikan pemimpinnya memimpin secara adil dan tidak menyalahgunakan jawatan.

“PAS tidak mengajar pemimpinnya mengejar jawatan atau mengambil kesempatan. Sifat-sifat buruk itu akan menghancurkan parti dan kerajaan,” katanya. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp