KHARTOUM, 19 April 2023 – Beberapa hospital utama di Khartoum, Sudan dilaporkan dalam keadaan huru-hara kerana terperangkap dalam pertempuran antara dua pihak bertelagah.
Sebahagian besar kakitangan terpaksa mengosongkan kawasan hospital atas faktor keselamatan.
Di Hospital Kanak-Kanak Ahmed Qassem, kakitangan terpaksa memindahkan pesakit, kecuali mereka yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Bekalan perubatan semakin menyusut dan ada dalam kalangan kakitangan serta pesakit terkandas dalam bangunan hospital.
Selain Hospital Kanak-Kanak Ahmed Qassem, Hospital Tenaga Pengajar Al-Shaab turut ditutup sepenuhnya.
Dianggarkan sejumlah 20 hospital beroperasi dalam keadaan terhad di Khartoum.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus bimbang dengan situasi di Sudan.
“Bekalan yang diedarkan WHO ke fasiliti kesihatan sebelum pertempuran berlaku kini semakin berkurangan.
“Hospital di Khartoum yang menerima pesakit cedera dilaporkan semakin kekurangan kakitangan dan bekalan perubatan, bekalan minyak untuk generator serta air dan lain-lain kini menjejaskan operasi fasiliti ini,” katanya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menganggarkan angka korban akibat pertempuran di Sudan sudah melebihi 185 orang dengan lebih 1,800 yang lain cedera. – Awani