TERKINI

Lawrence Wong PM Singapura ganti Lee Hsien Loong 15 Mei

Lee Hsien Loong (kiri), Lawrence Wong (kanan) – foto AFP

KUALA LUMPUR, 16 Apr 24 – Timbalan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dilantik sebagai Perdana Menteri Singapura yang baharu berkuatkuasa pada 15 Mei depan.

Dalam satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) Republik itu, Wong bakal menggantikan Lee Hsien Loong yang menyandang jawatan tersebut sejak 2004.

“Perdana Menteri Lee akan mengosongkan jawatan pada 15 Mei 2024 ini.

“Wong mendapat sokongan sebulat suara daripada Ahli Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP),” menurut kenyataan itu.

Jelas PMO Singapura lagi, majlis angkat sumpah akan berlangsung di Istana pada 15 Mei sekitar jam 8 malam.

Kenyataan sama menambah Lee secara rasmi akan menasihatkan kepada Presiden untuk melantik Timbalan Perdana Menteri, dan menggantikan Wong sebagai Menteri Kewangan.

Sementara itu, Wong dalam kenyataan di laman Facebook meluahkan rasa berbesar hati untuk menggalas tanggungjawab baharu sebagai Perdana Menteri Singapura seterusnya.

“Saya menerima tanggungjawab ini dengan rendah hati dan rasa tanggungjawab yang mendalam. Saya berikrar untuk memberikan yang terbaik kepada anda dalam usaha ini.

“Bersama-sama, kita dapat membina masa depan yang lebih cerah bagi semua rakyat Singapura,” ujar beliau.

Wong, 51, kini turut memegang jawatan Menteri Kewangan dan dilantik dua tahun lalu sebagai pemimpin pasukan generasi keempat (4G) PAP.

Wong akan menjadi Perdana Menteri Singapura keempat selepas Lee; Goh Chok Tong (1990) dan Lee Kuan Yew (1959). – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp