PASIR PUTEH, 9 Okt 2023 – Lebih 90 peratus lepasan institusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berupaya mendapatkan pekerjaan sebaik menamatkan pengajian.
Pengarah MARA Kelantan Fazli Rizal Ismail berkata ini kerana silibus institusi seperti Institut Kemahiran MARA, GIATMARA dan Kolej Poly-Tech MARA menepati kehendak pemain industri.
“Keadaan ini sekali gus melepasi kadar kebolehpasaran graduan di peringkat nasional apatah lagi kami sentiasa melibatkan pemain industri dalam penyediaan silibus pengajian.
“Kami juga memastikan apa yang dipelajari di MARA dapat diaplikasikan di bidang pekerjaan sebaik tamat pengajian,” katanya semasa menghadiri Majlis Penutup Program Jelajah Pendidikan Luar Bandar Negeri Kelantan Peringkat Daerah Pasir Puteh di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa, Selising di sini pada Ahad.
Fazli Rizal juga berkata silibus MARA akan dikemas kini setiap dua tahun dan lulusan Sijil Pelajaran Malaysia tidak perlu risau kerana agensi itu menyediakan sistem pendidikan berkualiti serta sesuai dengan peredaran zaman seperti teknologi kecerdasan buatan yang semakin diaplikasi dalam sektor industri.
“MARA akan menggandakan usaha kerana percaya masih ada pelajar atau ibu bapa yang tidak mengetahui dengan jelas peranan MARA dalam memartabatkan sektor pendidikan di negara ini,” katanya. – Bernama