TERKINI

Menteri Wilayah perlu nyatakan apakah nasihat kerajaan kepada Lembaga Pengampunan – Ketua Penerangan Pejuang

Muhammad Rafique Rashid – foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR, 3 Feb 2024 – Ketua Penerangan parti Pejuang Tanah Air, Muhammad Rafique Rashid menggesa Menteri Wilayah yang menjadi salah seorang wakil dalam Lembaga Pengampunan tampil menyatakan apakah nasihat yang diberikan oleh kerajaan, samada menyokong atau membantah keputusan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Dato Sri Najib Tun Razak.

Dalam satu entri di media sosial, Rafique berkata adakah diskaun hukuman yang diberikan kepada Najib, juga boleh diberi kepada rakyat dalam semua tanggungan cukai kesan daripada hutang skandal 1MDB dan SRC.

“Rakyat mahu tahu apa nasihat kerajaan melalui Menteri Wilayah yang duduk dalam Lembaga Pengampunan. Sokong? Bantah?

“Rakyat juga mahu tahu adakah kami dapat diskaun 50% juga bagi segala tanggungan cukai yang rakyat kena dan akan bayar akibat skandal 1MDB dan SRC ini?, ujar Rafique.

Beliau juga berpendapat, terdapat dua jenis sistem di negara sejak Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan UMNO mengambilalih kerajaan iaitu kelebihan kepada mereka yang ada nama dan pangkat termasuk yang menyokong Perdana Menteri.

“Kini rakyat benar-benar sedar ada dua jenis sistem bagi Negara ini sejak PMX dan PH dan UMNO ambil alih pentadbiran.

“Sekiranya ada pangkat, ada nama, ada harta dan sokong PMX semua boleh. Yang selainnya tidak penting. Kata Rafique.

Dalam entri yang berlainan, ketika mengulas isu yang sama, beliau percaya bahawa proses permohonan pengampunan bagi Najib ini tidak akan berhenti setakat ini kerana jika Najib berhasrat untuk kembali bertanding dalam PRU ke 16 akan datang, beliau perlu mendapat pengampunan penuh sepertimana Anwar Ibrahim, yang selepas itu layak bertanding dalam Pilihanraya Kecil Port Dickson.

“Satu-satunya cara untuk Najib Razak bertanding pada PRU 16 adalah jika Najib diberikan pengampunan.

“PMX adalah contoh bagaimana ianya terjadi. PH melalui PM7 Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad yang telah dalam masa seminggu selepas PRU ke 14 melaksanakan janji tersebut. Anwar Ibrahim diampunkan.

“Anwar Ibrahim kemudian memenangi kerusi Port Dickson selepas Ahli Parlimen disana melepaskan kerusi. Ujar beliau.

Memetik laporan Berita Harian mengenai isu yang sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, Najib juga boleh mengemukakan permohonan rayuan pengampunan sekali lagi selepas ini kepada Yang di-Pertuan Agong yang baharu, untuk mendapatkan pengampunan seterusnya.

“Kini Lembaga Pengampunan sudah membuat keputusan. Jika seseorang berpuas hati..maka ia adil, jika sebaliknya, beliau masih mempunyai jalan untuk merayu selepas ini,” kata Anwar dalam tembual bersama stesen televisyen Al-Jazeera petang semalam, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp