TERKINI

Mustahil PMX tak tahu kewujudan Titah Adendum – Ketua Pembangkang

Hamzah Zainudin – foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR, 6 Jan 25 – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, menyatakan bahawa adalah mustahil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mengetahui kewujudan Titah Adendum Diraja yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Dalam satu kenyataan sejurus keputusan Mahkamah Rayuan berhubung rayuan semakan kehakiman Najib Razak, Hamzah menegaskan bahawa sebarang tindakan menyembunyikan atau menafikan titah Agong merupakan penderhakaan besar kepada Raja dan negara.

“Sebarang keingkaran, menyembunyi atau menafikan titah Agong merupakan penderhakaan besar kepada Raja dan negara.

“Keputusan Mahkamah Rayuan membuktikan wujudnya tindakan pihak tertentu yang sengaja menyembunyikan Titah Adendum, mengkhianati prinsip keterbukaan yang sepatutnya dijunjung oleh kerajaan. Katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau turut mengingatkan bahawa sebagai seorang Perdana Menteri, Anwar terikat dengan ikrar sumpah taat setia kepada Agong serta Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, pasukan pembelaan Najib memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa Titah Adendum yang membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun di bawah tahanan rumah disembunyikan daripada umum.

Peguam utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan, perintah itu wujud dan ditandatangani sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, 72 untuk mendapatkan kebenaran itu.

Ketika membaca keputusan, Mohd Firuz berkata, mahkamah memerintahkan kes terbabit diremitkan atau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya merit semakan kehakiman ini diputuskan.

Menurutnya, alasan utama mahkamah menolak permohonan kebenaran, ialah berdasarkan fakta bahawa, Najib selaku perayu hanya bergantung kepada keterangan dengar cakap.

Bagaimanapun, berdasarkan bukti baharu, dua hakim di sini mendapati isu khabar angin atau dengar cakap itu, tidak lagi boleh dipertahankan. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp