TERKINI

Peguam Negara di Malaysia Sangat Berkuasa – Tun Mahathir

Mahathir Mohamad – foto malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 26 Sept 2023 – Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat Peguam Negara (AG) di negara ini sangat berkuasa kerana boleh menentukan sama ada individu yang dituduh boleh didakwa di mahkamah atau tidak.

Bekas ahli Parlimen Langkawi itu berkata, AG juga boleh menentukan penghakiman terhadap sesuatu kes, tanpa hakim mendengarnya.

“Dalam kes baru-baru ini, AG memutuskan bukan sahaja untuk tidak menghantar kes itu ke mahkamah tetapi beliau sebenarnya membuktikan bahawa terdapat bukti prima facie dan ada kes untuk defendan menjawab, dengan hakim bersetuju.

“Kemudian tiba-tiba AG memutuskan untuk tidak meneruskan kes tersebut. Hakim tidak mempunyai pilihan selain melepaskan tertuduh. Bagaimanapun, hakim memutuskan untuk tidak membebaskan tertuduh. Jadi keputusan hakim adalah pelepasan tanpa pembebasan.

“Ini bermakna tertuduh mungkin bersalah. Tetapi dia bebas,” kata Mahathir, dalam hantaran di media sosialnya, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak merujuk kepada mana-mana kes secara spesifik dalam hantaran tersebut.

Keadaan itu katanya adalah unik kerana ia tidak pernah berlaku di mana-mana tempat di dunia.

“Sistem kehakiman Malaysia sudah mencipta rekod dunia. Adakah rakyat Malaysia perlu merasa bangga?”

Selain itu, beliau berkata sekiranya terdapat bukti tuduhan dikenakan terhadap mana-mana tertuduh adalah bermotifkan politik, ia seharusnya digugurkan.

“Apa yang kita lihat hari ini ada tuduhan terhadap pihak pembangkang hampir eksklusif tetapi tuduhan ditarik balik sekiranya tertuduh melibatkan kerajaan atau berada di dalam kerajaan.

“Jenayah adalah jenayah dan hakim akan menentukan sama ada tertuduh bersalah atau tidak berdasarkan bukti yang ditampilkan,” katanya.

Beliau mendakwa, mereka yang disoal siasat polis kebanyakannya adalah pemimpin pembangkang dengan wakil pemimpin kerajaan yang melanggar undang-undang dan menyentuh isu melibatkan 3R kelihatan seperti bebas daripada soal siasat.

“Sebagai contoh, bercakap mengenai masalah Melayu mengakibatkan polis menyiasat tetapi bercakap mengenai tuntutan tiga kaum untuk menjadi orang asal Malaysia tidak disiasat.

“Bercakap mengenai kepelbagaian kaum adalah perkauman sama seperti bercakap satu bangsa,” katanya lagi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp