TERKINI

Peguam sahkan Yussof Rawther ditahan Polis

Rafique Rashid (kiri), Yusoff Rawther (kanan) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 11 Sept 24 – Peguambela, Rafique Rashid mengesahkan Yusoff Rawther telah ditahan reman sejak 6 Sept lepas oleh sepasukan polis di Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan, Rafique memberitahu bahawa Polis dilaporkan menjumpai 2 pucuk pistol dan dadah disyaki ganja (berat kasar ) 305gram dalam kereta yang dinaiki Yussof.

Menurutnya, siasatan dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952, setelah reman pertama berkaitan Akta Senjata Api 1960 ditolak.

“Yusoff telah menyatakan secara jelas pada pihak siasatan bahawa pistol dan dadah tersebut bukan miliknya dan dia tiada kena mengena dengan barangan terlarang tersebut. Ujian saringan air kencing juga negatif.

“Yusoff juga telah menyatakan dalam rakaman percakapannya bahawa pistol dan dadah tersebut diletakkan dalam keretanya sebagai perangkap (the guns and drugs were planted) oleh pihak-pihak yang mempunyai dendam atau permusuhan dengan beliau.

Tambah Rafique, nama-nama yang Yusoff maksudkan telah diberikan kepada pihak Polis.

“Pihak polis juga telah dipohon oleh Yusoff serta peguamnya untuk dibenar membuat laporan polis mengenai perkara ini. Surat berkaitan telah pun diutus. Keperluan membuat laporan polis ini adalah supaya pembelaan Yusoff dimajukan pada seawal mungkin agar ianya tidak dilabel “afterthought” atau rekaan.

“Yusoff amat risau tentang keselamatan beliau apatah lagi kes-kes sivil beliau terkait dengan individu-individu berpengaruh masih berjalan. Kes-kes ini mempunyai sensitivitinya tersendiri.

Tambah Rafique, keluarga Yusoff berdiri teguh menyokongnya dan berharap pihak PDRM profesional dalam melaksana tugas mereka. Reman akan tamat pada esok 12.09.2024 dan perkembangan selanjutnya akan diketahui lewat petang ini.

Sebelum ini, Muhammed Yusoff selaku plaintif telah memfailkan saman terhadap Anwar selaku defendan pada 14 Julai 2021 berhubung dakwaan berlaku serangan seksual terhadapnya di kediaman beliau di Segambut lima tahun lalu. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp