TERKINI

Pemimpin DAP Guna ‘Ilahi’ persenda Islam, kenapa tak disiasat, ditangkap? – Khairuddin

Khairuddin Abu Hassan – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 16 Jan 2024 – Ketua Polis Negara (KPN) digesa mengambil tindakan segera ke atas pemimpin DAP, Nga Kor Ming yang melanggari etika 3R apabila menggunakan perkataan ‘Ilahi’ dalam ucapan sambutan Ponggal.

Pengerusi Mobilisasi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, perkataan ‘Ilahi’ yang digunakan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu jelas mempersendakan agama Islam.

Nama ‘Ilahi’ itu digunakan Kor Ming untuk mengucap selamat Hari Ponggal iaitu perayaan yang diraikan oleh masyarakat India. Ini jelas mempersenda dan menghina agama Islam.

“Dia telah melanggari etika 3R dan menimbulkan kemudaratan pada keharmonian di kalangan rakyat berbilang kaum yang sepatutnya menghormati agama bangsa lain.

“Kenapa Ketua Polis Negara tidak bertindak pantas ke atas beliau? Sedangkan, siasatan ke atas tokoh pemimpin pembangkang cepat sahaja bertindak?” soalnya dalam kenyataan media, hari ini.

Baru-baru ini, dalam akaun Facebooknya, Kor Ming dilaporkan memuatnaik poster ucapan selamat Hari Ponggal kepada semua rakan-rakan yang menyambut perayaan itu semoga sentiasa diberkati Ilahi.

Namun, akibat kecaman itu, beliau telah memadamkan poster asal dan mengantikan ucapan baharu,
“Selamat Hari Ponggal, semoga tahun ini memberi kemakmuran, kesejahteraan, keceriaan dan kesihatan untuk semua”.

Kata Khairuddin, sikap pemimpin DAP itu tidak boleh dikompromi sama sekali dan agenda serta sikap jahat mereka yang sentiasa melakukan provokasi terhadap agama Islam harus diambil tindakan oleh polis.

“Kami yang bercakap mengenai perjuangan Melayu tanpa unsur provokasi pada bangsa serta agama lain seringkali disiasat polis.

“Sebab itu, kini pemimpin DAP sudah berani provok terhadap agama Islam secara terbuka dan natijahnya lihat apa terjadi pada Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham yang melakukan kesilapan sama mengenai agama Islam.

“Inilah yang kita maksudkan kepimpinan Melayu Pakatan Harapan (PH) pada hari ini boleh memudaratkan bangsa Melayu serta agama Islam di negara ini,” jelas beliau.

Menurut beliau, kepimpinan Melayu PH dilihat amat liberal dan tidak berani bersuara dengan pemimpin DAP yang semakin melampau sejak kebelakangan ini.

Katanya, mana-mana ketua negara yang fasik dan munafik bakal mengundang kemudaratan ini kepada orang Melayu mahupun agama Islam.

“Apabila Gerakan Proklamasi Orang Melayu hendak bercakap mengenai masa depan anak bangsa serta untuk menyatupadukan orang Melayu ke arah memartabatkan semula maruah kita tidak dibenarkan, kononnya melanggari etika 3R.

“Tetapi, apabila pemimpin DAP mempersendakan agama Islam semua pemimpin Melayu PH diam membisu.

“Pada pandangan saya dalam isu mempersendakan agama Islam ini pihak penguatkuasa undang-undang harus bersikap tegas,” katanya.

Kata Khairuddin lagi, badan-badan penguatkuasaan undang-undang tidak harus menjadi instrumen sebagai ‘balaci’ kepada kerajaan masa kini dalam soal politik semata-mata.

Mereka, tegasnya, kena berani bertindak atas prinsip kebenaran tanpa pilih kasih dan tidak menjadi balaci kepada pada orang politik tertentu.

Dalam masa sama, beliau merayu kepada Majlis Raja-Raja Melayu untuk bertindak ke atas sesiapa sahaja yang cuba mempersendakan agama Islam di tanah air ini.

Begitu juga dengan kalangan mufti serta golongan agamawan mesti berani dan tegas bersuara ke atas isu yang mempersendakan Islam.

“Justeru, Kor Ming harus diambil tindakan undang-undang oleh pihak penguatkuasaan undang-undang dan juga Majlis Agama Islam demi untuk mempertahankan kesucian syiar Islam di negara ini.

“Kepada pemimpin DAP, tolong jangan menguji kesabaran bangsa Melayu serta umat Islam di bumi Malaysia ini,” tegas beliau. – MalayaDaily

Facebook
Twitter
WhatsApp