PARIS – Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengejutkan dunia apabila melantik pengamal LGBT, Gabriel Attal sebagai Perdana Menteri negara itu, semalam.
Attal, 34 tahun dan pernah mengisytiharkan secara terbuka dirinya seorang gay antara pemimpin termuda diberi kepercayaan oleh Macron untuk membantu mengembalikan semula populariti kabinetnya yang semakin tercalar.
Pelantikan Attal juga merupakan Perdana Menteri termuda negara itu, selepas Elisabeth Borne, 62, mengumumkan peletakan jawatannya yang dipegang selama kira-kira 20 bulan.
Beliau adalah bintang politik yang semakin menyerlah dalam Parti Renaissance pimpinan Macron dan telah berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan dan Belia Negara sejak Julai tahun lalu.
Semasa memegang jawatan Menteri Pendidikan, Attal telah menggubal larangan kontroversi pemakaian abaya di sekolah awam Perancis dan turut berusaha meningkatkan kesedaran mengenai buli di sekolah.
“@GabrielAttal, saya tahu saya boleh mengharapkan tenaga serta komitmen anda untuk melaksanakan projek pemulihan dan penjanaan semula yang saya umumkan,” kata Macron dalam hantaran melalui X.
Attal merupakan sekutu rapat Macron dan menjadi jurucakap kerajaan ketika pandemik Covid-19.
Attal bukan saja disenaraikan antara ahli politik paling popular di Perancis berdasarkan tinjauan pendapat baru-baru ini, malah juga berjaya menampilkan dirinya sebagai seorang menteri yang bijak, selain menonjol dalam rancangan radio serta pada sidang Parlimen.
Ahli Parlimen, Patrick Vignal daripada Parti Renaissance pimpinan Macron, pula menyifatkan Attal ‘ada sedikit seperti Macron pada 2017’ – merujuk kepada detik Macron menjadi Presiden termuda dalam sejarah moden Perancis ketika popular dalam kalangan pengundi. – Agensi