TERKINI

Pentadbiran 22 Tun M : Semua Bangsa Kecapi Nikmat Ekonomi – Khairuddin

foto malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 4 Mei 2023 – Kepimpinan Tun Dr Mahathir selama 22 tahun menjadi bukti bagaimana keseluruhan kaum dapat mengecap nikmat khususnya dalam sektor ekonomi.

Menurut Ketua Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dalam satu kenyataan hari ini, pentadbiran Tun Mahathir telah berjaya membawa nikmat yang cukup besar di bidang ekonomi untuk semua kaum.

“Lihat saja sejarah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri Malaysia dahulu keseluruhan kaum-kaum lain di negara kita berjaya mengecapi nikmat yang cukup besar di bidang ekonomi khususnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Khalid Samad yang menyifatkan pertemuan Presiden PAS Tn Guru Haji Hadi Awang dan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ‘Pakatan Ahzab’ yang mana Khalid mendakwa kerjasama itu akan memporakperandakan negara dengan menjatuhkan kerajaan yang sah.

Menurut Khairuddin, perjuangan Tun Dr Mahathir Mohamad hanyalah untuk mengenal pasti segala permasalahan orang Melayu seterusnya mencari penyelesaian terbaik demi menjadikan bangsa Melayu yang progresif, maju, berdaya saing, bersifat amanah, berdisiplin serta mampu berdikari dalam segenap bidang yang diceburi.

“Khalid Samad tidak harus ‘takut pada bayang-bayang sendiri’ dan jangan masuk campur dalam agenda kami untuk memperkasakan semula kedudukan orang Melayu di tanahair yang tercinta ini.

“Kepimpinan Melayu tidak pernah menzalimi mana-mana bangsa di Malaysia walaupun lebih 60 tahun menjadi tunggak pentadbiran negara. Ujarnya.

Khairuddin juga menegaskan bahawa selama puluhan tahun parti PAS mentadbir Kelantan, kaum lain tidak pernah membuat sebarang aduan mengenai kezaliman kepimpinan Melayu, sebaliknya orang-orang Cina, India serta suku-suku kaum lain memuji keadilan kepimpinan PAS di Kelantan.

Beliau juga berkata mantan Perdana Menteri telah bercakap mengenai bangsa melayu sudah hampir 80 tahun dan kepimpinan beliau harus dijadikan sebagai contoh kepimpinan melayu yang terbaik pada hakikatnya.

“Perlembagaan persekutuan mengizinkan orang-orang Melayu berbicara mengenai hak-hak kaum melayu.

“Orang Melayu berhak untuk berbicara dan menyelesaikan apa saja permasalahan orang-orang Melayu di tanah Melayu ini. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp