TERKINI

Perlu Garis Panduan Untuk Rakyat Faham 3R, Kata Peguam

Nik Nur Syazwani Nik Suhaimi – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 22 Sept 2023 – Kerajaan perlu mengeluarkan garis panduan atau pekeliling menjelaskan larangan dan panduan berhubung kesalahan membabitkan raja, kaum, dan agama (3R) dalam usaha untuk memberikan kefahaman kepada rakyat berkaitan isu tersebut, kata peguam.

Nik Nur Syazwani Nik Suhaimi berkata, garis panduan itu akan berfungsi sebagai rujukan kepada rakyat sekiranya berlaku sesuatu yang melibatkan 3R.

“Keluarkan garis panduan, pekeliling, dan undang-undang atau akta berkait yang boleh dirujuk.

“Perlu ada garis panduan senaraikan jenis kelakuan, sama ada perbuatan, lisan, atau cetakan yang melanggar salah laku dan masukkan akta yang boleh dirujuk itu cara untuk jelaskan,” katanya, dalam wawancara bersama Malayadaily, baru-baru ini.

Nik Nur Syazwani berkata, tiada keperluan untuk kerajaan menggubal akta baharu berkait 3R sebaliknya mencukupi akta sedia ada dipinda dan ditambah baik.

Katanya, akta sedia ada mencukupi untuk mengekang salahguna membabitkan 3R, seperti Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan.

“Larangan umum, memang perlu war-warkan, dalam cara paling senang orang faham dengan memberikan contoh. Orang ramai bukan pengamal undang-undang atau profesor. Beri contoh, kita tiada khusus untuk larangan 3R tapi ada undang-undang lain.

“Akta ada banyak jika ada lompong daripada segi akta itu sendiri, badan pelaksana tak tahu nak pergi pendakwaan mana perlu ada penambahbaikan.

“Isu 3R memang sensitif tapi sangat penting, semua rakyat akan cakap ada hak mereka tak kisah kaum mana, jadi memang perlu ia diperhalusi, kalau perlu definisi lengkap boleh masukkan pindaan, itu lebih jimat masa banding akta baru,” katanya.

Namun begitu, beliau turut mengingatkan perlu wujud perbezaan sama ada kenyataan yang dikeluarkan itu adalah kesalahan atau cadangan.

“Kalau nak larang kena tengok perkara boleh timbulkan tindakan langgar undang-undang itulah kita nak larang. Perlu bezakan perkara langgar 3R atau cadangan.

“Adakah wajar larang 100%. Nak kupas isu agama, raja, hak kaum, tak wajar…kena bezakan sebagai rakyat tahu undang-undang kita nak martabatkan negara,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp