GEORGETOWN, 9 Mei 2023 – Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata sekiranya projek tiga pulau menerusi projek PSI berjaya, ia akan menyebabkan komuniti nelayan yang tinggal di situ dipindahkan.
Beliau ketika berkata kepada Sinar Harian, memberitahu bahawa golongan tersebut akan dipindahkan ke tempat lain.
“Ia akan membawa kepada perubahan demografi yang besar kepada komuniti nelayan tempatan yang mana, mereka yang berada dalam golongan B40 akan dipindahkan untuk mencari perlindungan di tempat yang lain.
Mohideen juga berkata bahawa tempat tersebut akan diambil alih oleh warga asing dari luar negara.
“Tempat mereka ini akan diambil alih oleh penduduk tempatan dan warga asing yang kaya dari China, Hong Kong dan negara barat. Adakah dengan memihak kepada golongan elit kaya tempatan dan asing ini selaras dengan prinsip Madani?” kata beliau.
Projek PSI ini meliputi penebusgunaan tanah untk tiga buah pulau buatan yang dikenali sebagai Penang South Reclamation (PSR). PSR mempunyai keluasan 4,500 ekar dan dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. PSR akan menjadi sebahagian daripada pengembangan Zon Industri Bayan Lepas dan menyediakan tanah untuk membangunkan Smart City. – Sinar Harian