TERKINI

Proklamasi Orang Melayu : Tun M Dan Muhyiddin Bertemu Rangka Kerjasama

Gambar – Sekretariat Proklamasi Orang Melayu

KUALA LUMPUR, 5 Julai 2023 – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan bagi merintis kerjasama pada gerakan Proklamasi Orang Melayu.

Kedua-dua pemimpin berkenaan mengadakan pertemuan hampir dua jam di rumah Dr Mahathir, di sini, malam tadi.

Menurut Ketua Mobilisasi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, perjumpaan dua tokoh pemimpin itu bakal memberi semangat baharu dalam usaha memperkasakan serta menguatkan kedudukan orang Melayu ini.

“Kedua tokoh pemimpin Melayu ini sanggup ketepikan segala perbezaan fahaman politik lampau demi menjaminkan kelangsungan perjuangan untuk memperkasakan kedudukan anak bangsa di bumi bertuah ini.

“Sifat terpuji Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menjadi satu sandaran baharu kepada keseluruhan orang-orang Melayu yang amat ‘dahagakan’ penyatuan atau perpaduan Melayu secara mutlak,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Pertemuan selama satu jam 45 minit itu, kata Khairuddin, merupakan satu manifestasi penyatuan Melayu secara total yang sedang diusahakan oleh Dr Mahathir demi memenuhi harapan serta impian keseluruhan orang-orang Melayu.

“Sesungguhnya, gerakan Proklamasi Orang Melayu secara ‘non partisan’ membuka pintu secara seluas-luasnya kepada mana-mana individu-individu Melayu yang bersemangat untuk bersatu-padu tanpa kira apa saja fahaman ideologi politik masing-masing.

“Sekretariat Proklamasi Orang Melayu akan mengembangkan satu daya-usaha untuk menyatupadukan keseluruhan umat melayu secara ‘total’ seterusnya mengenal-pasti segala polemik permasalahan dan memperkenalkan formula penyelesaian ke atas setiap masalah-masalah yang membelenggui kita selama ini,” jelas Khairuddin lagi. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp